20090819

SPRM DIGESA SIASAT PENDEDAHAN AHLI PARLIMEN PASIR MAS SERTA LAPORAN BERNAMA

AMK melihat pendedahan beberapa laman blog dan portal berita maya mengenai isu pengkhianat bangsa adalah satu perkara yang serius yg perlu diambil perhatian oleh semua pihak. Ini termasuklah satu pendedahan yang dilaporkan oleh Harakahdaily pada 15 Mei 2006.


Pendedahan tersebut, melalui berita "Umno Gadai Tanah Johor Kepada Singapura" antara lain memuatkan pendedahan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali di dalam satu ceramah di Kuala Nerus Terengganu mendakwa tanah seluas 51,170 hektar kepada Singapura pada tahun 1980 telah dijual dengan bayaran RM350 juta oleh Menteri Besar Johor ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Pendedahan ini adalah sangat serius kerana melibatkan keselamatan negara di mana wujud intervensi negara luar ke dalam kedaulatan negara melalui tanah rizab melayu. Adalah sangat malang, dalam keadaan pemimpin melayu Umno ini melaung-laungkan slogan pengkhianat bangsa kepada pemimpin politik lain, rupanya pemimpin melayu inilah yang mengkhianati bangsa dengan memajak tanah kepada negara jiran. Ini juga jelas melanggar salah satu wasiat Raja-raja Melayu yg menekankan penjagaan hak hartanah rizab Melayu tanpa kompromi.


AMK mendesak agar siasatan dilakukan ke atas individu-individu berkenaan agar pendedahan ini dapat disahihkan demi kelangsungan maruah bangsa dan negara:


1. Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu terpenting di dalam kes ini.

2. Datuk Ibrahim Ali selaku individu yang bertanggungjawab membuat pendedahan.

3. Bekas Setiausaha Kerja Umno Johor, Encik Hamzah Othman yang juga bekas pengerusi guru-guru besar yang bertanggungjawab memberi taklimat dan menyalur maklumat kepada Ibrahim.


AMK juga menggesa SPRM menyiasat Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menggunakan kemudahan kerajaan untuk kepentingan peribadi sepertimana yang dilaporkan oleh Bernama. Dilaporkan bahawa beliau menggunakan helicopter Nuri milik TUDM untuk hadir ke majlis parti UMNO. Menurut laporan tersebut, Setiausaha Akhbar beliau tanpa berselindung memberi pengakuan bahawa ketika kejadian (pendaratan cemas) tersebut, beliau sedang dalam perjalanan untuk merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Penampang.


Pengakuan ini secara terang-terangan telah membuktikan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan. AMK mendesak SPRM menyiasat kedua-dua kes ini dengan penuh bertanggungjawab serta berintegriti.



Shamsul Iskandar Mohd Akin

Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia


1 comment:

  1. teruskan pembongkaran dan jangan ada seinci rahsia oun tertinggal untuk membuktikan kejahatan UMNO di bumi Malaysia.

    ReplyDelete