Daripada Abu Mas‘ud al-Ghifari berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud:
“Jika hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada pada bulan Ramadhan, tentulah mereka mengharapkan supaya bulan Ramadhan sepanjang tahun. Seorang lelaki dari Khuza‘ah berkata: Ceritakanlah kepada kami mengenainya. Lalu Rasulullah saw bersabda: Sesungguhnya syurga itu dihiaskan kerana bulan Ramadhan mulai dari awal tahun, sehingga apabila datang hari pertama bulan Ramadhan, angin bertiup dari bawah ‘Arasy lalu daun-daun syurga berdesiran. Melihat keadaan ini, lantas berkatalah para bidadari: Ya Tuhan kami, jadikanlah untuk kami di bulan ini suami-suami yang akan menyejukkan mata kami dengan mereka dan akan menyejukkan mata mereka dengan kami. Rasulullah saw bersabda lagi: Tiada seorang hamba pun yang berpuasa Ramadhan melainkan dikahwinkan dengan seorang isteri dari bidadari yang berada di dalam sebuah khemah dari mutiara besar yang berongga yang disifatkan oleh Allah sebagai: “Bidadari-bidadari yang jelita, putih bersih, dipingit dalam khemah”. Setiap seorang wanita dari bidadari itu mempunyai tujuh puluh perhiasan yang tiada berbeza warnanya antara satu sama lain, dan diberikan kepadanya tujuh puluh jenis harum-haruman yang baunya tidak berbeza antara satu sama lain. Setiap seorang wanita itu mempunyai sebuah katil yang dibuat daripada yakut merah yang bertatahkan mutiara. Di atas setiap katil terdapat tujuh puluh permaidani yang sebelah dalamnya daripada sutera halus. Di atas tujuh puluh permaidani itu terdapat tujuh puluh katil berhias. Setiap seorang wanita itu mempunyai tujuh puluh ribu pelayan yang terdiri dari kanak-kanak lelaki dan tujuh puluh ribu kanak-kanak perempuan yang akan menguruskan keperluannya. Tiap-tiap seorang kanak-kanak itu mempunyai sebuah dulang dari emas yang padanya ada jenis makanan yang suapan akhirnya mempunyai kelazatan yang tidak terdapat pada suapan yang pertama. Kepada suaminya diberikan sedemikian juga di atas katil dari yakut merah. Ini hanyalah ganjaran bagi tiap-tiap hari puasanya dari bulan Ramadhan selain dari kebajikan-kebajikan lain yang dikerjakannya”.
Hadith ini berada di martabat maudhu’ (palsu), ia telah direka oleh Jarir bin Ayub. Al-Imam Ibn Hajar di dalam Lisan al-Mizan (2/101) menyebut tentang Jarir bin Ayub: “Terkenal dengan lemah”. Kemudian beliau memetik kata-kata Abu Nai’m tentang Jarir: “Adalah dia (Jarir) seorang yang memalsukan hadith”. Ibn al-Jauzi juga telah menghukum beliau sebagai seorang yang memalsukan hadith .
No comments:
Post a Comment