20100326

SURAT SPR KEPADA MB BERHUBUNG PILIHAN RAYA KECIL PBT DIDEDAHKAN KEPADA UMUM

KENYATAAN AKHBAR

24 MAC 2010

SHAH ALAM: Mesyuarat Exco hari ini memutuskan untuk menyiarkan kepada umum surat yang dihantar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada Menteri Besar Selangor berhubung cadangan untuk mengadakan pilihan raya peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tindakan ini bagi membolehkan orang ramai memahami isu ini secara mendalam.

Dalam surat setebal 11 muka surat bertarikh 23 Mac 2010 itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberikan maklumat dari perspektif perundangan dan had batasan berkaitan cadangan mengadakan pilihan raya PBT di Selangor.

Beliau membuat kesimpulan bahawa SPR dan negeri tidak mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya peringkat PBT bagi memilih ahli majlis.

Tan Sri Abdul Aziz juga berkata, SPR tidak boleh menjalankan kajian dan analisis seperti yang diminta Selangor kerana ia bukan bidang kuasa SPR seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Akta Pilihan Raya 1957.

Kerajaan Negeri menegaskan surat SPR ini bukan noktah akhir kerana kerajaan negeri akan terus berusaha mencari jalan atau kemungkinan lain yang membolehkan pilihan raya PBT ini diadakan.

“Kita membincangkan isu ini dalam Mesyuarat Exco hari ini dan memutuskan jalan terbaik ialah dengan mencari pilihan lain dari sudut yang berbeza.

“Kami percaya dalam sebuah negara yang matang, fungsi sesebuah kerajaan perlu didemokrasikan dan ini baik kerana rakyat mempunyai banyak pilihan,” kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada 11 Mac lalu, Menteri Besar menulis surat kepada SPR untuk mendapatkan pandangan mengenai pilihan raya kecil PBT selain meminta SPR mengadakan kajian menyeluruh untuk kepentingan rakyat khususnya di Selangor.

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

1 comment: