20100309

Dakwaan Felda Tipu, Suhakam Belum Bertindak

http://www.malaysiakini.com/news/126067

Selepas hampir dua minggu menerima memorandum daripada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berhubung dakwaan salah laku oleh Felda, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) masih belum bertindak.

Menurut seorang pesuruhjayanya, Suhakam perlu mendapatkan maklumat daripada Felda terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada agensi itu benar-benar melakukan pelanggaran hak asasi, diskriminasi dan penipuan.

Datuk Siva Subramaniam berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat suruhanjaya itu semalam yang membentangkan dua memorandum daripada wakil ANAK.

"Memo ini kita dah bentangkan kepada suruhanjaya (semalam). Suruhanjaya kata bincang dengan Felda dulu isu-isu yang dibangkitkan ini supaya kita boleh dapatkan penjelasan daripada pihak mereka.

"Kita juga rasa ada beberapa kes yang kita akan bawa untuk perbincangan, tetapi kita akan teliti jawapan daripada Felda," katanya lagi.

Memorandum yang diserahkan kepada Suhakam pada 24 Februari lalu itu menyenaraikan beberapa aduan termasuk dakwaan diskriminasi terhadap 25,000 peneroka yang mengendalikan sendiri kebun mereka selepas melangsaikan bayaran hutang.

Turut didakwa oleh peserta berkenaan ialah ugutan yang diterima Felda untuk menyingkirkan mereka daripada tanah rancangan.

Peneroka itu juga menuntut hak mereka untuk menerima wang tanam semula sebanyak RM17,000 serta bantuan tanam semula Risda bagi tanaman getah, lesen menjual hasil sawit dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta bantuan pendidikan dan pinjaman usahawan.

Mengulas lanjut, Siva berkata dakwaan tersebut akan diteliti untuk mendapatkan reaksi daripada Felda.

"Kita belum tetapkan siapa (di Felda) untuk ditemui. Belum tahu lagi siapa (untuk dijumpai). Kita akan hantar surat dahulu," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment