20091027

MEMORANDUM PENDUDUK SETINGGAN KEMPAS

Jawatankuasa Bertindak Penduduk Setinggan Kempas telah ditubuhkan pada Jumaat 18hb April 2008 di bawah Pusat Aduan Rakyat Zon Kempas. Jawatankuasa ini ditubuhkan untuk membela nasib penduduk setinggan Kempas yang berjumlah lebih kurang 9,624 orang terdiri daripada 2,000 keluarga. Ia bertanggungjawab menjaga kepentingan 18 perkampungan penduduk setinggan iaitu Denai Pinggiran, Denai Utama, Denai Selatan, Denai Aman, Denai Damai, Kg Semangat, Sawa, Lurah, Seri Rahmat 1, Seri Rahmat 2, Kg Gudang Beras, Seri Kempas 1, Seri Kempas 2, Kg Lembah Murni, Permatang, Sinaran, Banjaran dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Kempas Permai.

Penduduk setinggan Kempas telah memohon untuk mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak tetapi malangnya tiada pihak yang sanggup mendengar rintihan kami. Berikut kami nyatakan tindakan-tindakan yang telah kami lakukan :

01. 20.Jun.2008 : Penyerahan Memorandum Penduduk Setinggan Kempas Kepada Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor. Tetapi Tidak dilayan

02. 20.Jun.2008 : Jemputan Untuk Berdialog Bersama Menteri Besar Negeri Johor. Tetapi Tidak dilayan

03. 9.Jun 2009 : Permohonan Berjumpa Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin

Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Tetapi Tidak dilayan

Lebih menyedihkan lagi adalah kenyataan yang telah dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian di dalam Dewan Undangan Negeri Johor pada 26hb Jun 2008 yang telah melabelkan setinggan Kempas sebagai ’buta hati’ dan ’buta mata’.

Kami penduduk setinggan Kempas mempunyai asas-asas yang kukuh untuk menuntut kepada pihak kerajaan. Berikut adalah asas-asas tuntutan kami :

1. Kampung kami telah diteroka sejak 20 tahun yang lalu. Sebelum ini tanah ini adalah kawasan hutan yang menakutkan penduduk setempat. Kami telah membersihkan kawasan ini. Selama ini kami tidak mendapat bekalan air dan elektrik. Dengan penuh kesabaran, kami sesama penduduk saling bermuafakat membangunkan kampung ini dengan segala kekurangannya. Anak-anak dan cucu-cucu kami dibesarkan di sini. Kampung ini mempunyai sentimental value kepada kami semua. Kami sangat sayangkan kampung ini.

2. Penduduk kampung bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan bagi membantu membangunkan negara ini termasuk perindustrian, pendidikan, perniagaan, pentadbiran dan lain-lain lagi. Secara tidak langsung penduduk kampung membekalkan tenaga buruh yang murah kepada pengembangan ekonomi negara. Penduduk kampung sangat komited dengan aktiviti yang dianjurkan oleh pihak kerajaan. Sebahagian daripada kami menganggotai pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan telah banyak membantu menjaga keselamatan pimpinan utama negara yang melawat ke Negeri Johor seperti Y.A.B Perdana Menteri, Y.A.B Timbalan Perdana Menteri dan ramai lagi VIP negara.

3. Penduduk kampung adalah golongan yang sangat setia kepada parti pemerintah khususnya UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Kami telah banyak kali menyokong parti ini dalam pilihanraya sebelum ini. Kami telah berkempen dengan sepenuh hati bagi menarik sokongan pengundi menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN). Atas sokongan padu ini BN telah menang mudah di peringkat DUN Kempas dan Parlimen Pulai.

4. Penduduk kampung kami adalah majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sebahagian kami berpendapatan di bawah paras kemiskinan. Kelembapan ekonomi global masakini telah menyebabkan sebahagian kami kehilangan pekerjaan. Kehidupan di bandar besar seperti Johor Bahru memerlukan komitmen kewangan yang besar. Kami juga perlu menyara keluarga yang serba-serbinya memerlukan kewangan. Jikalau pihak kerajaan boleh memberi peluang kepada warga asing khususnya daripada Singapura membeli rumah dan tanah bernilai lebih daripada RM250,000 mengapa tidak kerajaan boleh menganugerahkan tanah kepada penduduk setinggan Kempas.

5. Kami juga sangat tertarik dengan pendekatan pihak Kerajaan Negeri Johor dalam menangani isu setinggan di Kg. Seri Serdang Baru, Kg Seri Jaya Baru, Perling dan Kg Pasir, Tampoi. Penyusunan semula kampung mereka telah memberi peluang kepada penduduk memiliki tanah yang cukup strategik. Sebahagian penduduk di Kampung Gudang Beras, Kempas telah menerima bantuan kewangan sebanyak RM10 ribu/sebuah rumah. Setinggan Kg Serantau Baru (Kebun Teh) telah menerima bantuan sebanyak RM10,000/sebuah rumah atau pengurangan harga rumah sebanyak RM32,000. Setinggan Kg Jalan Rajawali, Larkin Jaya mendapat sumbangan sebanyak RM25 ribu/sebuah rumah. Terkini adalah setinggan Kg Baru Pelentong Tengah hanya perlu membayar premium bagi memperolehi tanah lot di Kg Bukit Dagang, Ulu Tiram, Johor.

Tidak dinafikan bahawa pihak kerajaan telah menyediakan rumah rakyat dalam Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Kempas Permai. Walaubagaimana pun kami terpaksa mengeluarkan wang lebihkurang RM2,500 untuk proses perpindahan. Setakat ini pihak Kerajaan Negeri Johor tidak langsung membantu meringankan beban kami. Kami berpindah tanpa sumbangan saguhati daripada pihak kerajaan seperti rakan-rakan kami di tempat lain. Rumah pangsa17 tingkat ini pula mempunyai perbagai masalah yang merungsingkan kami seperti masalah sosial, masalah kebersihan, jenayah yang meningkat, kekurangan kemudahan infrastruktur dan kelemahan pengurusan. Kami sangat bimbang PPR Taman Kempas Permai bakal menjadi seperti Rumah Pangsa Larkin yang telah menjadi liabiliti kepada imej Kerajaan Negeri Johor sekarang.

Pihak kami sangat teruja dengan keprihatinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan Y.A.B. Lim Guang Eng yang telah menguruskan setinggan di Kg Buah Pala dengan baik, di mana pihak Syarikat Perumahan telah menganugerahkan mereka sebuah rumah bernilai RM500 ribu/sebuah keluarga. Walaupun umur Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat (PR) baru setahun jagung tetapi mereka telah memberi perhatian yang lebih kepada rakyatnya. Berbanding dengan kami yang telah 30 tahun menyokong BN tetapi tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Y.A.B. Perdana Menteri telah melancarkan agenda Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Kami merasakan agenda ini adalah sangat bersesuaian dengan kehendak semasa. Tahniah diucapkan. Sehubungan itu pihak kami mendesak Y.A.B merealisasikan agenda rakyat ini dengan melunaskan tuntutan-tuntutan kami seperti di bawah :

1. Memohon Y.A.B Perdana Menteri turun ke Kempas untuk mengadakan dialog terbuka dengan seluruh setinggan Kempas tidak kira fahaman politik.

2. Menganugerahkan tanah milik kekal kepada kampung setinggan yang tersusun.

3. Memberikan sumbangan kewangan sekurang-kurangnya RM30,000 bagi setiap rumah dan menawarkan rumah sewa-beli atau gantian tanah di tempat lain.

4. Menangguhkan notis Mengosongkan Tanah Kerajaan yang telah dikeluarkan oleh Pentadbir Tanah Johor Bahru di Kg Denai Pinggiran, Kempas dan dan sekitarnya sehingga tuntutan kami dipenuhi.

Pihak Kerajaan Negeri Johor sering memberi alasan kekurangan dana untuk memberi sumbangan kepada rakyat Johor khususnya setinggan Kempas. Di sini suka untuk kami nyatakan sumber kewangan yang seharusnya dimanfaatkan oleh pihak kerajaan. Dalam jawapan kepada Dewan Undangan Negeri Johor pada November 2008, telah dinyatakan bahawa pada mesyuarat kerajaan negeri Johor bertarikh 14hb Ogos 2007 kerajaan negeri telah membuat keputusan bahawa kerajaan persekutuan perlu menjelaskan ¼ bayaran premium tanah kawasan tanah Hospital Permai sebanyak RM108,492,450 kepada kerajaan negeri Johor. Tanah Hospital Permai adalah tanah yang didiami oleh sebahagian setinggan Kempas. Sebagai kerajaan yang prihatin kepada rakyat, tentulah pihak kerajaan boleh memperuntukkan sebahagian kecil daripada nilai premium ini kepada rakyat untuk mengurangkan bebanan kami.

Semoga perlunasan terhadap tuntutan ini menjadi bukti kepada rakyat Malaysia bahawa Y.A.B sangat serius terhadap agenda rakyat yang telah dilancarkan.

Sekian, Terima Kasih.

Wassalam

Yang Benar

...........................................
Ramli Bin Hj. Ibrahim

Pengerusi
JAWATANKUASA BERTINDAK,
PENDUDUK SETINGGAN KEMPAS,
NO 39 JALAN DAHLIA 9, TAMAN DAHLIA,
81200 JOHOR BAHRU, JOHOR
Tel Pej : 07-2346997, H/P : 019-7285174, No Fax : 07-5205002

s.k :
Y.A.B Dato’ Abdul Ghani Bin Othman,
Menteri Besar Johor

Y.B Datuk Sri Anwar Ibrahim.
Ketua Pembangkang/ Penasihat PKR

Y.B Dato’ Sri Hj. Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS

Y.B Lim Kit Siang.
Pengerusi DAP

Y.B Dato Nurjazlan Bin Mohammad.
Ahli Parlimen Pulai

No comments:

Post a Comment