KULAIJAYA – Kepimpinan tertinggi PKR menyifatkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang sebagai medan perang terakhir buat UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Naib Presidennya, Tian Chua berkata, Johor akan menjadi benteng pertahanan terakhir parti itu yang akan ditewaskan Pakatan Rakyat (PR) berikutan keangkuhan BN yang dilihat sebagai punca kegagalan mereka dalam PRU lalu.
“Sebelum PRU yang lalu, mereka angkuh dan beranggapan hanya BN yang mampu memerintah, tetapi keadaan sudah berubah dan PR telah buktikan bahawa PR mampu memerintah dengan lebih baik,” katanya.
Dia berkata demikian dalam ucapannya di hadapan 800 penyokong PKR Cabang Kulaijaya ketika menghadiri Majlis Makan Malam Bersama Pemimpin PKR yang diadakan di sini, Jumaat lalu.
Berhubung soal PRU Ke-13 akan datang, Tian Chua turut mengaitkan kejayaan yang dicapai kerajaan PR di Selangor dan kerajaan pimpinan BN di Johor yang didakwa tidak berusaha untuk meningkatkan kebajikan rakyat.
“Saiz negeri Selangor hanya satu pertiga daripada Johor yang mempunyai lebih banyak sumber sehingga boleh menjual air dan pasir kepada Singapura.
“Pimpinan PR selama tiga tahun dapat menjaga kebajikan rakyat di Selangor, jadi tidak mungkin negeri ini yang mempunyai banyak sumber tidak mampu melakukan perkara yang sama, tetapi pemimpin di sini tiada inisiatif untuk membangunkan kebajikan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, dia turut menyifatkan gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tidak berjaya berikutan banyak isu berkaitan perkauman, agama dan kesultanan masih terus berbangkit.
No comments:
Post a Comment