20110103

Perutusan Tahun Baru 2011

Ayuh Isytihar 2011 "Tahun Pemulihan Malaysia"!

2010 telah melabuhkan tirai dengan pelbagai perkembangan yang bercampur baur dan menarik perhatian rakyat. Pastinya, impak yang pelbagai juga akan mengesani rakyat Malaysia, khususnya generasi muda.

Di sebalik perencanaan agenda transformasi yang bermacam-macam jenis oleh Umno-BN, rakyat seolah-olah tidak merasai kesannya baik secara langsung ataupun tidak langsung. Yang pasti, kenaikan harga minyak, kenaikan harga barang, kemungkinan kenaikan harga tarif air dan elektrik nyata sekali akan terus menghimpit kehidupan rakyat yang terus terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meninggi dari hari ke hari.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) meyakini sepenuhnya bahawa cabaran tahun 2011 bukan sesuatu yang mudah bagi generasi muda Malaysia. Ternyata, melalui propaganda Umno-BN, rakyat seolah-olah sedang dihipnotis agar melupakan bala yang dilakukan oleh Umno-BN. Dalam masa yang sama, tawaran KEADILAN dan Pakatan Rakyat (PR) diperkecil dan dihenyak sepanjang masa oleh media.

KEADILAN dan PR konsisten di dalam menawarkan penyelesaian kepada kemelut politik dan ekonomi yang membelenggu rakyat Malaysia. Segalanya dihalusi dengan kajian dan penyelidikan yang terperinci dengan mengambil kira pembaziran yang dilakukan oleh Umno-BN.

Memperlihatkan kepada keampuhan KEADILAN dan PR, Umno-BN tergamak untuk membelakangi prosedur untuk melakukan pelbagai tekanan ke atas KEADILAN, antaranya ialah mengharamkan permit Suara Keadilan dan juga menggantung Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi Ahli Parlimen PR: YB Karpal Singh, YB Azmin Ali dan YB Sivarasa Rasiah daripada menghadiri Sidang Dewan Rakyat selama 6 bulan.

Serangan ke atas KEADILAN khususnya pasca pemilihan juga bertubi-tubi dilakukan Umno, kononnya KEADILAN berhadapan dengan krisis kepimpinan selepas Pemilihan 2010 yang menyaksikan sejarah tercipta dengan sistem 1 Anggota 1 Undi. Meskipun masalah kecil yang diperbesar media, KEADILAN berjaya memperkemas barisan kepimpinannya dengan pengenalan muka-muka baru khususnya suara-suara muda di dalam kepimpinan KEADILAN untuk terus kekal relevan dalam arus politik semasa.

Hakikatnya Umno buntu mencari butir jawapan kepada serangan KEADILAN dan PR. Isu penyelewengan dalam tadbirurus Felda, kenaikan harga minyak dan barangan, ketirisan dalam pelbagai perolehan kerajaan seperti yang dilapor oleh Laporan Ketua Audit Negara, semuanya gagal dijawab dengan fakta melaluikan 'auta' berpanjangan melalui media arus perdana kepunyaan Umno-BN.

Yang terus berlaku ialah rakyat ditindas secara senyap, keupayaan Kerajaan-kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dinafi dan dicabul di bawah semangat Federalisme.

Dalam keadaan 2011 bakal menyaksikan Pilihanraya Umum Ke-13 bakal diadakan dalam suku tahun kedua, rakyat seharusnya membulatkan tekad. 53 tahun Umno memerintah Malaysia, kita kekal berada di takuk lama. Menyandarkan kejayaan hanya pada menara pencakar langit dan pembangunan fizikal sama sekali tidak tepat untuk mengatakan bahawa rakyat telah berada pada tahap kehidupan yang terbaik. Isu keselamatan, kenaikan kos sara hidup, pencabulan hak asasi dan sebagainya kekal membungkam rakyat.

AMK percaya bahawa rakyat semakin bijak. KEADILAN dan PR, dengan kepimpinan yang ada, jelas terbukti menawarkan sesuatu yang lebih adil, telus dan demokratik.

Tahun 2011 seharusnya menjadi fasa pembaikpulihan Malaysia dengan menolak Umno-BN di dalam Pilihanraya Umum akan datang.

Ayuh kita nobatkan 2011 sebagai Tahun Pemulihan Malaysia!


Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia

No comments:

Post a Comment