20101012

PKR Buat Laporan Polis

http://www.sinarharian.com.my/johor/content/story8281709.asp

KULAIJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan polis berikutan polis yang didakwa melakukan intimidasi ketika Jamuan Hari Raya Aidilfitri PKR Negeri Johor di Kampung Air Manis, Jumaat lalu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor, Zabidie Abas berkata, pihaknya turut menuntut agar barangan yang dirampas dikembalikan semula iaitu empat unit speaker, seunit mikrofon dan seunit stand microfon.

Zabidie turut menuntut pihak berkuasa menyatakan secara jelas kaedah, peraturan dan syarat yang dikehendaki untuk mengadakan program berhimpun.

“Pihak kami akan sentiasa patuh setiap arahan dan syarat selagi ianya tidak bercanggah dengan hak asasi kami dan undang-undang negara. Kami juga merayu agar diberhentikan segera segala gangguan terhadap mana-mana majlis PKR yang diadakan selagi tidak menyalahi undang-undang negara,” katanya kepada media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kulaijaya, di sini semalam.

Zabidie berkata, pihaknya akan mengambil khidmat guaman sebagai badan penasihat dan akan berbincang untuk menangani masalah itu yang kerap berlaku terhadap pelbagai program PKR.

Beliau berkata, sepatutnya perkara itu dapat ditangani melalui perbincangan serta budi bicara terlebih dahulu.

Katanya, majlis tersebut jelas hanya diadakan sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri serta diadakan di premis kediaman bukannya di tempat awam yang mana perlu memohon permit terlebih dahulu dan kain rentang yang dipasang juga jelas menunjukkan bahawa majlis tersebut bukanlah perhimpunan haram seperti yang didakwa mereka.

Justeru itu, beliau berharap perkara ini hendaklah diteliti secara telus supaya dapat memberi kefahaman kepada semua pihak agar tidak berlaku kekeliruan sama ada kami perlu juga memohon permit untuk mengadakan jamuan sedemikian yang hanya dihadiri anggota serta penyokong melalui jemputan sahaja.

No comments:

Post a Comment