20101017

Peristiwa Kulaijaya tanda Umno-BN Semakin Runtuh

http://suara-keadilan.com/

PETALING JAYA 16 Okt - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Senator Dr Syed Husin Ali berkata hari-hari terakhir bagi sesebuah pemerintahan atau kerajaan menjadi sangat nyata apabila ianya semakin zalim dan korup.

Kata beliau keadaan yang sama amat relevan dengan Umno-Barisan Nasional di Malaysia di mana negeri Johor yang di anggap sebagai benteng kuat Umno tidak lagi terkecuali.

"Beberapa hari yang lalu, suasana perayaan Aidilfitri anjuran KEADILAN Negeri Johor yang pada mulanya meriah dan berjalan lancar telah menjadi ribut apabila sepasukan polis tiba-tiba menceroboh masuk ke dalam kawasan rumah persendirian di Kampung Air Manis, Kulaijaya tempat jamuan hariraya itu diadakan.

"Pada malam Sabtu 8 Oktober itu, kira-kira 40 orang anggota polis yang diarah sendiri oleh Ketua Polis Daerah, DSP Zulkefly merampas mikrofon daripada Pengerusia KEADILAN Negeri, Chua Jui Meng ketika beliau sedang berucap. Selepas itu, mereka merampas pula peralatan siaraya yang lain termasuk dua keping banner di situ.

"Mengapakah polis yang kononnya “tegas, adil dan berhemah” itu bertindak sebegitu rupa? Zulkefly Yahya tidak ada jawapan lain kecuali membebelkan 'tidak ada permit'.

"Kalau itulah alasannya, kami ingin bertanya: berapa ribukah permit yang telah dikeluarkan oleh pihak polis, dan berapa ratuskah majlis rumah-terbuka yang telah mereka serbu sepanjang musim perayaan ini?" tanya Dr Syed Husin dalam kenyataan media beliau Isnin lalu.

Beliau berkata peristiwa polis menceroboh kawasan persendirin atas alasan 'tidak ada permit' sudah pernah berlaku beberapa kali namun kejadian di Sungai Tongkang, Rengit pada malam 31 Julai masih segar dalam ingatan di mana ribuan orang sedang menunggu untuk mendengar ceramah anjuran KEADILAN di kawasan Markas PAS.

"Pada masa itulah, ratusan orang polis termasuk dari unit FRU telah dikerah untuk menceroboh masuk ke kawasan yang berkenaan serta memecahkan pintu stor dan merampas peralatan siaraya yang terkunci di dalamnya. Dalam masa yang sama, mereka juga telah bertindak memukul serta mencederakan sejumlah orang, dan menangkap beberapa yang lain.

"Semua ini tidak dapat dilupakan. Akan tetapi, mengapakah polis yang sepatutnya profesional bertindak sedemikian rupa?

"Dari dua contoh di atas, saya buat kesimpulan begini: Pemerintah yang sudah tidak berupaya, dan institusi kerajaan yang sudah korup serta tidak berwibawa, kedua-duanya akan berpaut erat antara satu sama lain. Demi survival, mereka akan berganding melakukan apa saja, tanpa mempedulikan nasib serta masa depan negara dan rakyat," jelas beliau lagi
.

No comments:

Post a Comment