20100705

Petisyen Kepada Perdana Menteri

Petisyen parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan Negeri Johor kepada Perdana Menteri

Kerajaan Wajib Bertanggungjawab Keatas
Tindakan Pihak Polis Sering Melepaskan Tembakan Sesuka Hati
Dan Sikap Polis Tidak Mengendahkan Nyawa Rakyat

Kami, ?? parti politik dan pertubuhan Negeri Johor berasa terperanjat dan depres terhadap kes kematian suspek disebabkan oleh tembakan polis yang sering berlaku kebelakangan ini. Kami juga berasa terperanjat dan depres terhadap cara pihak berkenaan menangani kes-kes sebegini. Tanpa pilihan lain, pihak kami terpaksa menghantar petisyen kepada Perdana Menteri.

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) cawangan Johor Bahru telah menerima dua aduan tentang pembunuhan rakyat biasa oleh tembakan polis. Berikut merupakan keterangan lanjut tentang 2 kes tersebut:-

1. Pada 20hb Oktober 2008, lebih kurang pukul 3 pagi, tiga pemuda berketurunan India yang berumur lebih kurang 30 tahun, Augustin A/L Mahamenathan, M. Jagathesan dan Siva telah ditembak oleh polis di Taman Johor. Augustine dan Jagathesan terbunuh di tempat kejadian manakala Siva berjaya melarikan diri. Mengikut sijil kematian[1] yang dikemukakan oleh keluarga Augustine, dia mati kerana kecederaan sebab tembakan di dada dan abdomen. Pihak polis mendakwa pihaknya melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri kerana mangsa cuba menetak anggota polis dengan pisau pemotong daging dan parang semasa ditahan oleh polis kerana disyaki terbabit dalam kes samun.[2]

Menurut Justin A/L Mahamenathan, abang kepada mangsa bernama Augustine, dan Siva yang berjaya melarikan diri, ketiga-tiga mangsa berteman ke sebuah kedai perjudian haram yang terletak di Taman Johor. Lebih kurang jam 1 pagi, empat orang anggota polis yang berpakaian biasa telah masuk ke kedai tersebut dan menggari ketiga-tiga mangsa selepas tunjukkan kad kuasa polis. Augustine diheret keluar oleh polis, manakala Siva dan Jaganathan tinggal dalam kedai. Kedengaran beberapa das tembakan dari luar kedai sejurus selepas itu. Siva dan Jaganathan turut diheret keluar dari kedai selepas itu. Gari mereka kemudiannya dibuka dan mereka diarahkan melarikan diri manakala empat anggota polis yang terbabit pula melepaskan tembakan dari belakang. Jagathesan terkena tembakan dan jatuh ke atas lantai manakala Siva berjaya melarikan diri. Menurut Siva, anggota polis terus melepaskan tembakan kearah Jagathesan yang telah jatuh.

2. Pada 20hb Oktober 2009, seorang remaja Melayu, Mohd Afham Bin Arin, 18 tahun, menunggang motosikal bersama Mohd Firdaus Bin Marsawai yang juga berumur 18 tahun telah dikejar dan ditembak mati oleh 3 orang polis yang berpakaian biasa semasa dalam perjalanan dari Taman Johor Jaya ke Pasir Gudang. Mohd Afham mati kerana kecederaan yang berpunca daripada tembakan pistol di arteri jantung[3]. Pihak polis mendakwa, dalam sidang akbar keesokan harinya, bahawa 3 polis peronda bermotosikal cuba menahan motosikal yang dinaiki oleh Mohd Afham dan Mohd Firdaus kerana mereka disyaki terlibat dalam kes ragut yang berlaku di Taman Johor Jaya. Pihak polis melepaskan tembakan atas alasan mempertahankan diri kerana pembonceng motosikal iaitu Mohd Fridaus melibas pedang terhadap anggota polis. Insiden berakhir dengan Mohd Afham terbunuh manakala Mohd Firdaus berjaya melarikan diri[4].

Mohd Fridaus telah membuat satu akuan sumpah pada 7hb Januari 2010, yang menyatakan mangsa dan dia tidak pernah menyerang polis dengan pedang, dan mereka juga bukan “peragut” yang disifatkan oleh pihak polis. Pada 19hb Oktober 2009, selepas makan malam di Taman Scientex dengan kawan, Mohd Afham dan Mohd Firdaus telah menunggang sebuah motosikal menuju ke rumah kakak Mohd Afham di Taman Daya.

Semasa tiba di lampu isyarat depan Taman Johor Jaya, mereka didatangi tiga buah motosikal yang ditunggang oleh tiga lelaki yang tidak dikenali. Tiga lelaki tersebut cuba memperhentikan motosikal mereka. Mereka tidak berhenti kerana beranggapan tiga lelaki itu adalah perompak. Salah seorang dari tiga lelaki tersebut telah meneriak ”Polis!Polis!Polis” terhadap mereka. Oleh kerena tiga lelaki itu tidak beruniform dan tidak tunjukan kad kuasa polis, maka mereka tidak berani hentikan motosikal.

Mereka terus memecut ke arah Pasir Gudang. Selapas lebih kurang setengah jam kejar-mengejar, Mohd Firdaus kedengaran satu das tembakan dari belakang dan dia terus mengankat tangan sebagai tanda serah diri. Dia kedengaran das tembakan kedua, mangsa dan dia terus jatuh dari motosikal ke arah yang berbeza. Sekali lagi tembakan kedengaran. Sepucuk pistol diacukan kearah Mohd Firdaus. Mohd Firdaus sekali lagi mengangkat tangan sebagai tanda serah diri.

Dalam keadaan bingung dan takut, dia telah berundur dan jatuh ke cerun semak di belakangnya. Mohd Firdaus telah mengambil kesempatan ini untuk melarikan diri. Dia kemudiannya membuat panggilan di sebuah pondok telefon dan meminta kawannya datang untuk menjemputnya. Selepas itu, Mohd Firdaus tidak mendapat sebarang berita dari Mohd Afham. Mohd Firdaus pergi kerja seperti biasa pada keesokan hari. Dia hanya diberitahu oleh ahli keluarga Mohd Afham bahawa Afham telah ditembak mati oleh polis pada 12 tengahari.[5]

Kedua-dua kes tersebut diatas yang berlaku di Johor dan Kes Aminulrasyid yang berlaku di Shah Alam, Selangor[6] telah menunjukkan bahawa:

Pertama, mangsa-mangsa ini semuanya “disyaki” oleh polis sebagai “perompak”. Pihak polis turut mendakwa mangsa ditembak mati kerana cuba menyerang anggota polis dengan pisau dan pedang.

Kedua, tembakan yang dilepaskan oleh pihak polis adalah bertujuan membawa maut kerana tembakan semuanya dituju kepada dada, abdomen dan jantung.

Ketiga, alasan bahawa pihak polis melepaskan tembakan demi mempertahankan diri sukar dipercayai oleh orang ramai.

Tindakan pihak polis melepaskan tembakan sewenang-wenang atas nama “mempertahankan diri” dan sikap yang tidak mengendahkan nyawa rakyat telah membawa pengaruh negative yang serius. Rakyat pelbagai kaum kini hidup dalam ketakutan kerana risau akan jadi magsa seterusnya. Mengikut tinjauan soal selidik bebas yang dibuat oleh Merdeka Centre, seramai 58% rakyat tidak puas hati dengan tindakan yang diambil oleh pihak polis dalam mengendalikan kes Aminulrasyid dan antaranya seramai 70% kaum Cina tidak puas hati dengan tindakan polis manakala untuk kaum Melayu seramai 50% tidak puas hati dan 32% puas hati, dan untuk kaum India, 64% tidak puas hati dan 18% puas hati dangan tindakan polis. Seramai 91% rakyat seluruh Malaysia pernah dengar tentang kes Aminulrasyid[7]. Keputusan soal selidik ini secara kasar telah mencerminkan kecenderungan dan pendapat rakyat jikapun tidak seratus peratus tepat.

Rakyat pelbagai kaum menaruh harapan kepada Ketua Polis Negera Tan Sri Musa Hassan untuk mengambil tindakan menghentikan tidakan kejam polis yang tidak mengendahkan nyawa, KPN bukan sahaja tidak meminta maaf kepada keluarga mangsa dan rakyat jelata di atas tidakan pihak polis tidak melindungi nyawa dan harta rakyat dengan baik malah mengeluarkan kenyataan sombong dan angkuh bahawa beliau sedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat[8]. Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein pula tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kenyataan Ketua Polis Negara yang angguh dan sombong itu.

Jika keadaan tidak mengendahkan nyawa rakyat oleh pihak polis, sikap keangkuhan ketua Polis Negara dan perangai membutakan mata Menteri Dalam Negeri terus berlaku tanpa berhenti, rakyat pasti akan berpendapat bahawa dakwaan kerajaan BN bahawa “tugas polis adalah melindungi nyawa dan harta rakyat” hanya merupakan satu penipuan. Kalau situasi ini bertambah teruk, apa yang akan terjadi kepada usaha Tuan Perdana Menteri untuk membentuk “Satu Malaysia” adalah amat ngeri direnungi.

Justeru itu, Kami menyeru Perdana Menteri dan Kerajaan Barisan Nasional harus bertanggungjawab atas tindakan pihak polis yang tidak mengendahkan nyawa rakyat:--

1. Mengarah Ketua Polis Negara meletak jawatan dan mengambil tindakan undang- undang keatas anggota polis yang terbabit.

Sebagai pegawai tertinggi dalam pasukan Polis DiRaja Malaysia, Ketua Polis Negara dengan hanya mendengar cerita sebelah anak buahnya, bukan sahaja menolak tututan munasabah pihak keluarga mangsa dan masyarakat, malah mengeluarkan kenyataan yang angkuh dan sombong. Ini telah menjatuhkan maruah rakyat pelbagai bangsa negara kita. Beliau harus meletak jawatan dengan segera. Anggota polis yang terbabit harus dibicara dan menerima hukuman dengan adil. Pihak kerajaan pula harus menegakkan keadilan dengan membersihkan nama baik mangsa dan memberi ganti rugi kepada ahli keluarga mangsa.

2. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat segala kes tembak mati oleh Polis.

Pada pendapat kami, hanya Suruhanjaya Diraja yang bebas dan berkuasa dapat mencungkil rasiah sebanar kematian mangsa-mangsa kes tembak mati polis. Lain dengan mahkamah koronel, Suruhanjaya Diraja mempunyai kuasa untuk memangil saksi dalam proses penyiasatan. Mahkamah koronel pula hanya bergantung kepada bukti yang dikemukakan oleh pihak Polis untuk menentukan punca kematian. Fungsi sebenar mahkamah koronel hanya untuk endos, dari segi undang-undang, apa-apa sebab kematian yang dikemukakan oleh pihak polis.

Suruhanjaya Diraja dibentuk daripada pakar undang-undang dan perubatan. Keputusan Suruhanjaya Diraja yang berdasarkan siasatan bebas dari pelbagai aspek dipercayai lebih adil. Suruhanjaya Diraja juga kelihatan lebih neutral.

3. Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk memantau Salahguna Kuasa Polis.

Pada tahun 2005, Suruhanjaya Diraja yang diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin telah mengemukakan sebanyak 125 cadangan untuk menambahbaikkan institusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM), antaranya termasuk penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Namun, cadangan tersebut tidak diambil serius oleh Kerajaan. Sebaliknya kerajaan melalui Menteri Jabatan Perdana Menteri, YB Mohamed Nazri, dalam jawapan bertulis kepada YB Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di Parlimen pada 14hb Jun ini, mengumumkan kerajaan telah mewartakan penubuhan Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) dibawah naungan Jabatan Perdana Menteri pada 3hb September tahun lepas[9]. SIAP akan menguruskan aduan terhadap 21 agensi kerajaan termasuk PDRM. Sifat keadilan, kebebasan dan keberkesanan SIAP amat diragui kerana ditempatkan di bawah naungan Kementerian Perdana Menteri. Kami berpendapat bahawa, penubuhan IPCMC adalah satu-satunya cara untuk menghentikan salahguna kuasa dan tembak mati rakyat oleh polis.
.

No comments:

Post a Comment