20100721

Nasib PM Najib Tun Razak?

Mungkinkah Najib Menjadi Saksi Di Mahkamah Peranchis?

Oleh Faisal Mustaffa
http://suara-keadilan.com/news-section?t=3483

Barangkali ramai orang sudah mempercayai keupayaan Perdana Menteri Najib Razak menerajui kepimpinan negara. Sebutan ‘Satu Malaysia’ sering kedengaran di sana sini terutama melalui corong-corong radio dan televisyen. Tidak cukup dengan itu, apa jua dasar baru yang diperkenalkan, masih juga menyematkan perkataan ‘1Malaysia’ seperti ‘Klinik 1Malaysia’ dan sebagainya.

Tetapi, adakah kita pasti Najib sekarang tidur lena? Mungkin agak keterlaluan apabila kita mengatakan dia sekarang mampu untuk tidur lena di tilam empuk di puncak Putrajaya.

Cerita-cerita tentang pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sudah tentu masih muncul dalam mimpi-mimpinya. Manakan tidak? Sekiranya kita tidak bersubahat pun, igauan-igauan yang timbul apabila terkenangkan sesuatu pembunuhan itu juga sudah cukup membawa kegerunan kepada kita semua – sudah tentu kepada aku sendiri.

Ada segelintir pihak yang cuba menyangkal penyelidikan prestasi Najib melalui satu tinjauan Merdeka Center yang memberangsangkan tidak lama dahulu.

Cerita demi cerita, pembongkaran demi pembongkaran.

Malah, kisah ini juga cuba dilukiskan secara sinis dalam majalah-majalah kartun yang kemudiannya diharamkan oleh pihak kerajaan (sebut Kementerian Dalam Negeri).

Penyunting kepada portal berita Malaysia-Today, Raja Petra Kamarudin kini berganding bahu dengan salah seorang ahli politik berwibawa dan peguam Zaid Ibrahim dalam mendedahkan kebobrokan Najib.

Melalui pendedahan-pendedahan yang dijalankan, orang ramai mula bertanya-tanya dan menimbulkan ratusan lagi persoalan. Menjurus dari situ, surat akuan sumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam memperkuatkan dakwaan yang dilemparkan. Malahan peguam kanan Manjeet Singh Dhillon – yang membawa jawapan dalam bentuk akuan bersumpah (SD) Bala bersamanya apabila pulang daripada London untuk diserahkan kepada SPRM – telah dicerobohi rumah kediamannya dan komputer ribanya dicuri.

Zaid Ibrahim telah menuduh Najib yang takut kepada Raja Petra dan Bala kerana apa yang mereka tidak mengetahui mengenai pembunuhan Altantuya ialah sebenarnya itulah yang perlu diketahui umum.

Kenapa SPRM berdolak-dalih?

Jadi, adakah kita terkejut sekiranya tidak ada usaha dijalankan untuk menyiasat Bala di London?

Ya, mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dipersoalkan mengenai fungsi kebebasan yang konon diakui itu.

Dolak-dalih SPRM di dalam kes ini jelas menjelekkan mata dunia. Pihak polis cawangan khas dikatakan sudah pun memulakan siasatan mereka. Jadi, adakah bermakna SPRM sudah lepas dari tanggungjawab untuk memberi keadilan? Bagaimana SPRM boleh memperbaiki kredibilitinya sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk membenteras kegiatan rasuah dengan dolak-dalih yang diberikan seperti ini?

Bagi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pula, lebih baik berdiam sahaja dari mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan.

Khairy Jamaluddin pula dengan ‘semangat Melayu’ berkobar-kobar menyelar pihak polis yang melengah-lengahkan usaha menangkap Raja Petra. Di antara Khairy, Najib dan Raja Petra sudah tentu tiada cinta antara mereka. Masing-masing dengan agenda masing-masing. Sekiranya kesemuanya itu dicantumkan dengan fakta yang ada pada Bala, sudah tentu semuanya akan selesai.

Sekarang, pihak berkuasa Peranchis sudah pun memulakan siasatan terhadap kes ini. Bala sudah mengatakan bahawa beliau akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan dia kotakan apa yang dikatakan.

Melalui kenyataan medianya, Bala memberitahu bahawa dia menceritakan segala apa yang diketahuinya berkenaan dengan pembunuhan Altantuya, pembelian perkakas ketenteraan melalui broker Abdul Razak Baginda dan pertaliannya mereka semua dengan Najib.

Bala juga mendedahkan kepada pihak berkuasa Peranchis mengenai bagaimana beliau diugut dan disogokkan dengan wang oleh adik Najib Nazim dan penjual permaidani Deepak Jaikishan.

Pertemuan Bala di Paris bersama pendakwaraya Peranchis M Ryckewaert pada Julai 12 lalu dijalankan selama tiga jam.

Menurut Bala, apa yang menarik minat pihak berkuasa Peranchis ialah berkaitan dengan pembelian kapal selam Scorpene pada tahun 2002 ketika Najib menjadi Menteri Pertahanan. Mereka mahu menyiasat sama ada DCNS, sebuah syarikat pertahanan yang berpengkalan di Peranchis ada memberi komisyen di dalam pembelian tersebut. Bagi Peranchis, transaksi sedemikian merupakan satu jenayah.

Di dalam kenyataan medianya, Bala telah menceritakan mengenai syarikat Malaysia, Perimekar yang dimiliki isteri Abdul Razak Baginda dibayar RM570 juta untuk menyelaraskan dan menyediakan perkhidmatan sokongan terhadap Scorpene.

Apakah pilihan yang ada pada Najib kini? Walau apa pun terjadi, Najib perlu mempersiapkan dirinya dengan berhadapan dengan mahkamah – tidak di negara ini, di negara asing. Beliau perlu mengemukakan seberapa banyak bukti untuk menyingkirkan pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan, bukannya cuba menutup mulut atau menghalang pendakwaan.

Melalui mahkamah sahajalah Najib boleh menyingkirkan syak wasangka kenapa inspektor Azilah Hadri dan korporal Sirul Azhar Umar yang bertugas dengan pejabatnya boleh terbabit dalam perbuatan meletupkan si mangsa dengan bahan letupan C4.

Tetapi, adakah Najib berupaya lakukan sebegitu?

Bayangkan Najib dan Rosmah berarak memasuki mahkamah sebagai saksi ke kamar keadilan? Hancur-lulurlah Rosmah jika mana beliau tidak pula berpeluang untuk membeli-belah sakan di Paris – pusat fesyen dunia

No comments:

Post a Comment