20100804

umno PERKUDA PASUKAN POLIS



Kenyataan Media Ketua AMK

2 Ogos 2010

UMNO perkuda pasukan Polis !

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) mengecam keras tindakan polis yang bertindak melakukan intimidasi melampau ke atas beberapa program yang melibatkan penyertaan pimpinan Keadilan dan Pakatan Rakyat pada hari Sabtu dan Ahad lepas.

Pada hari Sabtu 31 Julai 2010, program Keadilan di Batu Pahat, Johor dan Sungai Rambai, Melaka yang telahpun dirunding dengan pihak polis bagaimanapun dicabuli oleh polis sendiri apabila trak FRU dan gerombolan anggota polis menujah masuk dengan biadap ke dalam program yang telah dianjurkan.

Manakala semalam, Ahad 1 Ogos 2010, dianggarkan tidak kurang daripada 30 aktivis anti-ISA telah ditahan diseluruh negara, antaranya di Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Ipoh, berikutan terlibat dengan perhimpunan aman membantah akta zalim ISA setelah 50 tahun ia dikuatkuasakan oleh Kerajaan Umno-BN.

Tindakan pihak polis yang sangat tidak profesional ini adalah begitu mendukacitakan, malah melanggar peraturan yang mereka kuatkuasakan. Ini berikutan program di Johor dan Melaka dianjurkan di dalam premis persendirian dan tidak melibatkan tempat awam, malah tempat program di Melaka juga telah dicadangkan oleh polis sendiri.

Demikian juga di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, meskipun dengan kehadiran peguam dan Pesuruhjaya SUHAKAM turut hadir memantau penahanan aktivis, kehadiran mereka ini tidak dipedulikan langsung oleh polis, sekaligus menunjukkan kebiadapan yang tidak sewajarnya dilakukan oleh polis selaku penguatkuasa undang-undang.

AMK melihat, di sebalik percutian 10 hari Perdana Menteri, beberapa perkembangan yang berlaku, termasuklah penahanan Tun Dr. Ling Liong Sik terdahulu dan pengharaman akhbar rasmi Keadilan dan DAP, kesemuanya merupakan sesuatu yang telah dirancang rapi, ditambah dengan intimidasi polis ke atas program-program anjuran Keadilan dan Pakatan Rakyat secara keras dan konsisten mutakhir ini.

Umno-BN di bawah kepimpinan Dato' Sri Najib Razak kelihatan begitu lemah khususnya di dalam menangani keluh kesah rakyat. Justeru, Umno-BN sebagaimana biasa menggunakan polis dan instrumen kerajaan lainnya untuk memastikan kemaraan Pakatan Rakyat dikekang dengan apa cara sekalipun.

Siri-siri intimidasi ini jelas membuktikan, bahawa Keadilan dan Pakatan Rakyat adalah satu ancaman terbesar bagi Umno-BN yang mahu tradisi membodohkan rakyat diteruskan, agar rakyat dinafikan hak untuk mendapat maklumat alternatif, berhimpun dan bersuara.

AMK menggesa agar pihak polis dapat membersihkan institusi PDRM daripada kawalan politik Umno-BN dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi PDRM. Jangan pasung mentaliti rakyat daripada menerima maklumat alternatif yang mendedahkan salahlaku dan penyelewengan yang sekianlama dilakukan oleh Umno-BN.

AMK menyatakan komitmen untuk membawa perkara ini kepada SUHAKAM agar siri-siri intimidasi ini boleh dihentikan. Rakyat perlu bersatu untuk hentikan tradisi membodohkan rakyat yang sedang digerakkan oleh Umno-BN !

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda Keadilan
MALAYSIA

No comments:

Post a Comment