20100812

PKR sedia menghadap Baginda Tuanku

SENAI – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa parti itu rela menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bagi memberi penjelasan sebenar, namun bukan bererti untuk memohon ampun dan maaf.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Zabidie Abas berkata, keputusan untuk menghadap Baginda Tuanku diputuskan Majlis Pimpinan PKR negeri dalam mesyuarat tergempar yang diadakan kelmarin.

Katanya, keputusan yang dicapai itu akan dilakukan dalam waktu terdekat bagi meredakan kemurkaan Baginda Tuanku yang sebelum ini murka dengan penyebaran kain rentang yang melibatkan Baginda Tuanku di kancah politik.

“Kami semua sepakat untuk menghadap Baginda Tuanku sekiranya diperkenankan dan kita akan memberi penjelasan sebenar kepada Baginda Tuanku tentang apa yang berlaku.

“Untuk minta maaf, kita tidak akan lakukan sebab kita tidak bersalah, yang bersalah seharusnya yang meminta maaf,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak kepimpinan PR memohon ampun dan maaf berikutan tindakan mengaitkan Baginda Tuanku dalam arena politik.

Muhyiddin menegaskan, tindakan itu jelas tidak menghormati institusi diraja selain boleh disifatkan sebagai menjatuhkan maruah serta martabat institusi berkenaan.

“Kami sentiasa menghormati titah Baginda Tuanku dan jauh sekali untuk mencemarkan nama Institusi Diraja demi mencapai kepentingan politik,” katanya.

Katanya, beliau berharap agar polis dapat menjalankan siasatan yang terperinci bagi mengheret individu yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

No comments:

Post a Comment