20100824

Pembangkang Nafi Pecah Belah Peneroka

Pembangkang nafi pecah belah peneroka
http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8096796.asp

SHAH ALAM – Pembangkang semalam menafikan isu berkaitan Felda yang dikatakan bertujuan memecahbelahkan peneroka dengan syarikat itu seperti didakwa Pengerusinya, Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Latheefa Koya berkata, dakwaan Mohd Yusof bahawa pembangkang hanya mengganggu dan cuba menyusup masuk ke Felda adalah tidak profesional.

Menurutnya, masalah penyelewengan Felda diadukan sendiri oleh peneroka, bukan diada-adakan pembangkang.

“Kita hanya bertindak sebagai peguam dan menjalankan amanah peneroka yang menuntut hak mereka. Dalam mahkamah pendakwa tidak akan tanya peguam parti mana, yang dia akan tanya adalah berdasarkan kes.

“Sebagai pihak bertanggungjawab menjaga Felda, mereka perlu jawab secara profesional, lantik peguam dan berdepan dengan perkara ini. Bukan bercakap melalui media sahaja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau meminta Felda tidak mempolitikkan apa sahaja isu yang dikaitkan dengan mereka hanya kerana peneroka melantik peguam dalam kalangan pembangkang.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub menegaskan, Pakatan Rakyat(PR) konsisten untuk mendedahkan isu penyelewengan dan salah urus tadbir yang berlaku dalam Felda.

“Ini tanggungjawab kita untuk menyelamatkan peneroka. Apa pun dakwaan mereka kita (PR) akan terus berjumpa rakyat dengan kerap supaya maklumat mereka dapat disampaikan secara terus.

“Dia (Mohd Yusof) sepatutnya menjawab isu ini, bukan berdalih. Seharusnya dia menyatakan persetujuan untuk menerima pelawaan berdialog yang diusulkan pembangkang, bukan bersembunyi di sebalik kuasa yang ada,” katanya.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar meminta pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuka peluang kepada pembangkang untuk berdebat dan membahaskan isu Felda di Parlimen.

Menurutnya, pembangkang adalah saluran yang betul bagi peneroka untuk mengemukakan masalah mereka.

“Bukan kita menyibuk tetapi kita mengetengahkan masalah. Banyak isu yang masih belum dijawab Felda.

“Mereka kata ekonomi Felda masih baik, berkembang dan menguntungkan tetapi yang untung Felda? Bukan peneroka,” katanya.

Terbaru media melaporkan, Pengerusi Felda Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor mendakwa ada pihak mahu melihat peneroka dan pentadbiran dalam organisasi itu berpecah belah untuk memudahkan mereka menyusup masuk dalam Felda.

Dakwaan itu timbul berikutan pelbagai masalah berkaitan salah urus dan penyelewengan Felda dikemukakan pihak pembangkang

No comments:

Post a Comment