20100810

Kenyataan melalui Sinar Harian

Baginda Tuanku murka

KOTA TINGGI – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, murka dengan penyebaran kain rentang memaparkan gambar Baginda Tuanku bersama Pengerusi Parti Keadilan Johor (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng yang dicadangkan sebagai Menteri Besar.

Tindakan individu yang tidak dikenal pasti itu seolah-olah dilihat mencabar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor, yang memperuntukkan seorang Menteri Besar itu mestilah Melayu dan beragama Islam.

Titah Baginda Tuanku, tindakan memaparkan kain rentang sedemikian rupa boleh memecah belahkan perpaduan rakyat Johor.

“Ada pihak cuba memecah belah perpaduan di kalangan rakyat demi untuk kepentingan peribadi. Contohnya baru-baru ini di Batu Pahat, ada pihak cuba untuk mengheret saya ke dalam kancah politik dengan memaparkan gambar saya sebagai suatu kempen politik.

“Perbuatan ini adalah biadab dan kurang ajar,” titah Baginda Tuanku semasa Majlis Penutup Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 Fasa II di Padang Majlis Daerah Kota Tinggi, semalam.

DYMM Sultan Ibrahim bertitah, Baginda Tuanku tidak mahu rakyat berpecah-belah hanya disebabkan politik kerana ia merugikan rakyat.

“Saya tidak mahu rakyat saya dipecahbelahkan,” titah Baginda Tuanku.

Kelmarin, Jui Meng pada Majlis Makan Malam PKR bersama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, di Skudai, mendedahkan PKR menemui beberapa kain rentang berkenaan digantung di beberapa daerah antaranya di Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru.

Jui Meng mendakwa ‘kerja’ itu dilakukan UMNO negeri bagi mencetuskan kemurkaan Baginda Tuanku.

Dalam perkembangan lain, Baginda Tuanku turut mengingatkan pegawai kerajaan supaya peka dengan masalah rakyat.

“Saya mahukan supaya pegawai kerajaan peka dengan masalah rakyat dan jangan sesekali mengutamakan kepentingan peribadi,” titah Baginda Tuanku.


AMK beri amaran kepada UMNO Johor

SENAI – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor memberi amaran keras kepada UMNO negeri supaya tidak bertindak luar batasan dengan menyentuh sensitiviti rakyat Johor sehingga menyebabkan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, murka.

Amaran itu dikeluarkan selepas Pakatan Rakyat (PR) menemui beberapa kain rentang yang tertera gambar Tuanku di bahagian kiri bawah bersama gambar Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Chua Jui Meng dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PR mendakwa, kain rentang yang tertera ‘PKR Johor Menyokong penuh Datuk Chua Jui Meng sebagai Pengerusi PKR Johor dan calon MB (Menteri Besar) Johor’, dilakukan UMNO.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat AMK negeri di Balai Polis Gelang Patah, kelmarin, bagi mendesak polis melakukan siasatan terperinci berhubung penyebaran poster yang dianggap sebagai mencemarkan imej PR.

Ketuanya, Zabidie Abas berkata, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Gelang Patah sebagai langkah susulan berhubung penemuan kain rentang di beberapa daerah antaranya di Muar, Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru.

“Ayat yang tertera di kain rentang itu jelas berunsur perkauman yang boleh menggugat kesejahteraan rakyat terutama rakyat Johor. Jadi di sini kami nafikan penyebaran kain rentang itu dilakukan PKR,” katanya kepada :Sinar Harian:, semalam.

Menurutnya, beliau berharap individu atau syarikat yang menerbit dan mencetak kain rentang itu patut dikenakan tindakan sewajarnya.

“Ini adalah satu tindakan di luar batasan kerana DYMM Sultan Johor telah murka,” katanya.

Terdahulu, Jui Meng mengulas penemuan beberapa poster di sekitar Johor yang meletakkan gambar Jui Meng bersama DYMM Sultan Johor yang mahukan beliau menjadi Menteri Besar Johor didakwanya sebagai ‘kerja’ orang-orang UMNO.

“UMNO tidak tahu undang-undang Johor ke? Untuk jadi Menteri Besar Johor mesti orang Melayu dan Islam, mereka sengaja mahukan DYMM Sultan Johor murka kepada kami,” katanya.

Polis rekod keterangan 39 individu berhubung penggunaan gambar Sultan Johor
http://www.sinarharian.com.my/bterkini/6041.asp

JOHOR BAHRU -- Polis sudah merekodkan keterangan daripada 39 individu termasuk ahli politik bagi membantu siasatan berhubung tindakan sebuah parti politik yang menggunakan poster gambar Sultan Johor, Sultan Ibrahim pada majlis ceramah di Batu Pahat, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata keterangan kesemua individu itu diambil sejurus polis menerima sembilan aduan daripada beberapa pihak mengenai perkara itu.

"Ketua Polis Daerah Batu Pahat dan pasukan Cawangan Khas kini ditugaskan untuk menyiasat aduan tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Mohd Mokhtar berkata siasatan mengenai perkara itu dibuat mengikut Akta Hasutan dan beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu supaya tampil membantu siasatan polis.

Semalam, Sultan Ibrahim ketika bertitah pada majlis penutup Kembara Mahkota Johor Bermotosikal 2010 di Kota TInggi, melahirkan rasa murka terhadap tindakan menggunakan gambar baginda itu.

Dalam titah baginda, Sultan Ibrahim mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan tindakan itu yang disifatkan sebagai boleh memecah-belahkan kerukunan hidup bermasyarakat di negeri ini
* Pembetulan - Laporan Polis tersebut dibuat di Balai Polis Simpang Renggam bukan Gelang Patah

No comments:

Post a Comment