20110220

Tiga syarikat kroni dapat kontrak minyak RM2.45 bilion

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan pemberian kontrak bernilai RM2.45 bilion bagi membina pelantar minyak kepada tiga syarikat dipercayai milik kroni Umno Barisan Nasional (BN). Beliau tidak menolak kemungkinan tiga syarikat itu dikhuatiri berperanan menyalur sebahagian keuntungan kepada Umno BN menjelang pilihan raya umum akan datang.

“Saya mahukan wang itu dikembalikan kepada rakyat. Barulah kita mengangkat martabat serta taraf hidup rakyat. Saya nak jadikan Malaysia negara model, negara contoh apabila kita memerintah,” katanya.

Awal Februari ini, Petronas mengumumkan pemberian kontrak Perkhidmatan Risiko (RSC) kepada Petrofac Energy Developments Sdn Bhd (Petrofac), Kencana Energy Sdn Bhd (Kencana Energy) dan Sapura Energy Ventures Sdn Bhd (Sapura Energy).

Sapura Energy, anak syarikat SapuraCrest Petroleum Bhd (SapuraCrest) dianugerah kontrak untuk membangunkan pelantar minyak dan gas berantai yang dianggar bernilai AS$800 juta (RM2.45 bilion) di persisiran pantai Semenanjung.

Kontrak itu ialah yang pertama dianugerah Petronas mengikut perjanjian minyak baru di Malaysia.

Mengikut perjanjian RSC, Petrofac yang memiliki 50 peratus pegangan ekuiti RSC akan mengendalikan operasi membangunkan pelantar terbabit manakala dua syarikat lain iaitu Kencana Energy dan Sapura Energy, masing-masing memegang 25 peratus kepentingan ekuiti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kencana adalah Datuk Mokhzani Mahathir, anak bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru ini dinamakan sebagai antara individu terkaya di Malaysia dengan harta peribadi bernilai RM1.075 bilion.

Turut tersenarai dalam 40 individu terkaya di Malaysia yang dikeluarkan majalah Malaysian Business itu, adalah Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak, adik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga memberi jaminan terhadap Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN Umno pula, tidak akan ditindas mahupun dipenjarakan seperti amalan parti pemerintah itu terhadap pimpinan pembangkang. Sambil bergurau, beliau berkata “Saya mahu hantar Najib jadi duta besar Malaysia ke Mongolia,”