20100226

Sirah Nabi & Rasul Yang Terakhir

Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam ialah Nabi yang terakhir dan tidak ada Nabi selepasnya. Ini adalah kata sebulat suara umat Islam (ijma’). Di dalam agama pula dikenal dengan suatu perkara yang mesti dipercayai (‘Aqidah). Sepotong Hadith Nabi yang bermaksud:

“Aku dan Para Anbiya’ sebelumku ibarat satu bangunan yang dibina oleh seorang laki-laki. Lalu ia membinanya dengan baik dan dipercantikkannya kecuali pada tempat sekeping batu-bata pada suatu sudut. Maka orang ramai datang mengelilinginya dan kagum melihat dan berkata: Mengapa tidak diletakkan seketul batu-bata di tempat yang kosong itu? Maka akulah batu-bata itu dan akulah penyudah segala Nabi.”

Pertautan dan hubungkait da’wah Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan da’wah para Anbiya’ terdahulu adalah bertujuan memperkuat dan memperkemas atau sebagai kesimpulan dan penutupan, sepertimana yang dapat difahamkan dan Hadith yang tersebut di atas.

Ini tegas sekali bila melihat di mana da’wah para Anbiya’ seluruhnya bersendikan dua asas yang penting:

1. ‘Aqidah kepercayaan
2. Perundangan dan akhlaq

Dan segi ‘aqidah kepercayaan langsung tidak berubah sejak Nabi Adam ‘Alaihi Salam hinggalah ke zaman Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, Nabi yang terakhir, iaitu kepercayaan kepada Allah Yang Esa. Mensucikan Allah dan sifat-sifat kekurangan dan percayakan hari akhirat, hisab amalan manusia, syurga dan neraka. Tiap-tiap Nabi menyeru kaumnya kepada kepercayaan tersebut dan tiap-tiap Nabi juga menyokong dan menegaskan apa yang dibawa oleh Nabi yang terdahulu darinya. Rangkaian pengutusan para Anbiya’ sekeliannya menunjukkan kepada kita yang nabi-nabi semuanya diutus supaya menyeru manusia ke arah keimanan dengan Allah ‘Azza wajalla Yang Esa, seperti yang dinyatakan di dalam kitabNya yang bermaksud:

“Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan kepadamu (wahai Muhammad), dan Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya.” (As-Syuura: 13)

Malah langsung tidak tergambar kepada kita yang seruan para Anbiya’ itu akan berlainan di antara satu dengan yang lain mengenai soal ‘aqidah, sebab soal ‘aqidah adalah soal berita dan perkhabaran dan tidak akan berlainan perkhabaran dan berita dan seseorang itu sekiranya perkara itu benar. Tidak diterima oleh ‘aqal manusia bahawa Allah telah mengutus seorang Nabi mengatakan Allah itu tiga - Maha Suci Allah - kemudian diutuskan seorang Nabi lain mengatakan bahawa Allah itu Esa dan kedua-dua perkhabaran itu kemudian dianggap benar belaka. Ini tidak mungkin berlaku.

Ini bersangkut dengan ‘aqidah, bersangkut dengan tasyri’ (perundangan). Perundangan (ahkam) ini pula bertujuan mengatur penghidupan sesebuah masyarakat. Peribadi manusia adalah berbeda kualiti dan kuantitinya sesuai dengan pengutusan seseorang nabi itu, sebab tasyri’ itu bukanlah untuk menyampaikan perkhabaran dan berita semata-mata tetapi bertujuan untuk mengadakan dan mewujudkan masyarakat yang sempurna. Sudah pasti di mana masa dan keadaan sesuatu kaum itu memberi kesan dan pengaruh-pengaruh terhadap perkembangan perundangan, kerana timbulnya undang-undang itu adalah demi maslahat dan kepentingan serta faedah manusia untuk dunia dan akhirat.

Pengutusan nabi-nabi yang terdahulu adalah semata-mata untuk kaum itu sahaja, tidak merupakan pengutusan yang menyeluruh. Justeru implikasinya terhadap perundangan tasyri’ adalah nyata sekali. Umpamanya pengutusan Musa ‘Alaihi Sallam kepada Bani Israel adalah untuk bangsa dan zaman itu sahaja. Dikatakan undang-undang yang diturunkan untuk Bani Israel itu sesuai untuknya kerana undang-undang itu nyata keras dan memang sesuai dengan bangsa yang bersifat keras kepala.

Apa yang dibawa oleh Nabi ‘Isa pula adalah sederhana sedikit daripada apa yang dibawa oleh Nabi Musa tadi. Perkara ini nyata sekali kalau diperhatikan apa yang ditegaskan oleh Allah dalam kitab Al-Qur’an yang bermaksud:

“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Al-Taurah yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang telah diharamkan kepada kamu.” (Aali ‘Imran: 50)

Apa yang dibawa oleh Nabi ‘Isa adalah membenarkan dan menegaskan apa yang dibawa oleh Al-Taurah mengenai soal ‘aqidah dan kepercayaan, dan yang bersangkut dengan hukum tasyri’ ada sedikit perubahan iaitu kelonggaran dari yang dahulu.

Kesimpulan yang dapat kita ambil dan sini ialah, setiap pengutusan itu mengandungi ‘aqidah dan tasyri’. Kepercayaan dan ‘aqidah yang dibawa oleh seseorang Nabi itu fungsinya menguat dan menyokong ‘aqidah Anbiya’ yang terdahulu. Sedangkan syari’at pula fungsinya membatal dan memansuhkan syari’at para Anbiya’ dahulu dan kadangkalanya menyokong yang lama.

Justeru tidak ada agama dan ‘aqidah Ilahi berbilang-bilang dan beraneka corak, sebaliknya terdapat pelbagai syari’at Ilahi yang kemudian memansuhkan yang dahulu dan yang baharu membatalkan yang lama, hinggalah sampai kepada syari’at yang terakhir disudahi dengan Nabi yang terakhir.

‘Aqidah dan agama yang benar itu satu. Setiap Nabi dan Rasul yang diutuskan mulai dari Adam ‘Alaihi salam hingga ke Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, semuanya menyeru manusia kepada agama yang satu iaitu agama Islam. Lantaran Islam maka diutuskan Ibrahim, Isma’il dan Ya’qub ‘Alaihim salam seperti firman Allah yang bermaksud:

“Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim di dunia ini dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah terdiri dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Berserah dirilah (kepadaKu wahai Ibrahim)! Nabi Ibrahim menjawab: Aku berserah diri kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya dan (demikian juga) Nabi Yaakub, katanya: Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.” (Al-Baqarah: 130-132)

Dengan ‘aqidah inilah juga Allah mengutus Nabi Musa kepada keturunan Israel di mana Allah telah menceritakan tentang ahli sihir Fir’aun yang telah beriman dengan Nabi Musa. Firman Allah yang bermaksud:

“Mereka menjawab: Sesungguhnya kami (tidak gentar) kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami (dan kepadaNyalah kami mengharapkan keampunan dan rahmatNya). Dan tidaklah engkau (hai Firaun) marah (dan bertindak menyeksa) kami melainkan kerana kami beriman kepada ayat-ayat Tuhan kami, ketika sampainya kepada kami. (Mereka berdoa): Wahai Tuhan kami, limpahkanlah kesabaran kepada kami dan matikanlah kami dalam keadaan berserah diri kepadaMu.” (Al-A’raaf: 125-126)

Dengan ‘aqidah ini jugalah Tuhan mengutus ‘Isa ‘Alaihi salam, di mana Tuhan telah menceritakan tentang kaumnya yang telah beriman dengan ajaran yang dibawanya. Firman Tuhan yang bermaksud:

“Maka ketika Nabi Isa merasa akan kekufuran dari mereka (kaum Yahudi), berkatalah dia: Siapakah penolong-penolongku kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Para Hawariyyuun (penyokong-penyokong Nabi Isa) berkata: Kamilah penolong-penolong (Utusan) Allah. Kami telah beriman kepada Allah dan saksikanlah sesungguhnya kami ialah orang-orang yang berserah diri kepada Allah.” (Aali ’Imran: 52)

Mungkin ditimbulkan pertanyaan. Kenapakah mereka yang mengaku sebagai pengikut-pengikut Nabi Musa mempunyai ‘aqidah tersendiri, tidak kena-mengena dengan ‘aqidah keesaan yang dibawa oleh para Anbiya’? Dan mengapakah mereka yang mengaku sebagai pengikut Nabi ‘Isa menganuti suatu ‘aqidah yang tersendiri? Sebagai jawapannya kita sarankan dalil al-Qur’an yang bermaksud:

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam, dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka.” (Aali ’Imran: 19)

Dan tegas Tuhan lagi dalam surah Al-Syura yang bermaksud:

“Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad).” (As-Syuura: 13)

Dan lagi:

“Dan umat tiap-tiap Rasul tidak berpecah belah dan berselisihan (dalam menjalankan agama Allah) melainkan setelah sampai kepada mereka ajaran-ajaran yang memberi mereka mengetahui (apa yang disuruh dan apa yang dilarang); berlakunya (perselisihan yang demikian) semata-mata kerana hasad dengki sesama sendiri, dan kalaulah tidak kerana telah terdahulu kalimah ketetapan dari Tuhanmu (untuk menangguhkan hukuman) hingga ke suatu masa yang tertentu, tentulah dijatuhkan hukuman azab dengan serta-merta kepada mereka, dan sesungguhnya orang-orang yang diberikan Allah mewarisi Kitab agama kemudian daripada mereka, berada dalam keadaan syak yang menggelisahkan terhadap Kitab itu.” (As-Syuura: 14)

Para Anbiya’ diutuskan bersama-sama mereka yang Islam, agama yang diakui oleh Allah. Ahli Kitab mengetahui bahawa agama itu satu dan diutuskan Nabi-nabi untuk memberi sokongan kepada Nabi-nabi yang terdahulu.

Allahu a’lam bisshawab.

- Fiqh as-Sirah, Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi

No comments:

Post a Comment