20110512

Pakatan Rakyat Edar Borang Peneroka Baru Felda

Janji pakatan pembangkang untuk membahagikan tanah Felda Plantations kepada anak peneroka seperti yang terkandung dalam ‘Pelan 100 Hari’ hanya akan merugikan generasi baru peneroka itu sendiri.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad berkata, langkah itu hanya akan menyebabkan generasi kedua dan ketiga tanah rancangan berkenaan akan mendapat sebahagian kecil sahaja daripada tanah tersebut.

Menurutnya, janji itu hanya untuk menunjukkan dasar parti tersebut yang mahu terus menjadi popular bagi menarik perhatian pengundi khasnya generasi muda Felda.

‘‘Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pelaksanaan dasar popular tidak akan menyelesaikan sesuatu masalah sedangkan ia semata-mata untuk meraih undi rakyat.

‘‘Ia mustahil dilaksanakan kerana jumlah peneroka yang cukup ramai akan mengakibatkan seorang daripada generasi kedua dan ketiga akan mendapat sebilangan kecil kawasan tanah.

‘‘Saya harap peneroka boleh menilai sendiri janji itu yang hanya berkepentingan politik dan mereka tidak sesekali termakan hasutan pihak pembangkang demi masa depan generasi baru Felda,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas Pelan 100 Hari pakatan pembangkang untuk membahagikan tanah Felda Plantations kepada anak peneroka sekiranya mereka dapat memerintah negara ini.

Mohd. Isa pada masa yang sama turut mempertikaikan tindakan pembangkang untuk membangkitkan isu membahagikan tanah Felda pada masa sekarang.

Sedangkan, katanya, ada di kalangan pemimpin pembangkang pernah berada pada kedudukan tertinggi dalam kerajaan Malaysia sebelum ini.

‘‘Kenapa tidak dilaksanakan sahaja rancangan membahagikan tanah Felda Plantations ketika mereka berkuasa. Mengapa baru sekarang sedangkan Felda Plantations telah lama ditubuhkan.

‘‘Ini menunjukkan pembangkang hanya berjanji kosong semata-mata untuk meraih undi terutamanya generasi baru Felda,’’ ujarnya.

(SUMBER: UTUSAN ONLINE)

Nota Pencatat


Kenyataan bodoh Tan Seri Isa Samad, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Najib Razak sungguh tidak berasas. Terdapat lebih kurang 790,000 ekar tanah Felda Plantation seluruh negara. Kalau dibahagi 10 ekar setiap orang, Negara akan berjaya menambah 79,000 peneroka baru.


Kalau ada kesungguhan untuk membantu rakyat memiliki tanah, 5 ekar pun sudah memadai setiap Peneroka Baru. Ini pun akan melahirkan 158,000 peneroka baru.


Kita tinggalkan Najib, kita tinggalkan Ahmad Maslan, kita tinggalkan Isa Samad dan seterusnya kita tinggalkan Umno/BN. Pakatan Rakyat kini dalam usaha mengedarkan BORANG PENEROKA BARU untuk mengambil tempat menggantikan Felda Plantation.


Pakatan Rakyat tetap akan menansuhkan Felda Plantation seandainya menang dalam PRU dan berjaya membentuk Kerajaan Pusat. Kekayaan Felda akan dikembalikan kepada peneroka. Peneroka adalah yang paling layak menikmati kekayaan tanpa dihisap oleh Felda.