Berlandaskan Perintah Majlis Angkatan Tentera(PMAT) bertarikh 29 Ogos 1973 perenggan 9-11; menyatakan bahawa setiap anggota tentera dan isteri mereka berhak untuk memohon 20 ekar tanah pertanian dan dua tapak tanah perumahan dimana-mana seluruh Malaysia dari kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (KEMENTAH). Malangnya, sejak tahun 1973, tiada sebarang rekod kemas disimpan oleh KEMENTAH untuk anggota tentera yang ingin memiliki perolehan tanah melalui perintah ini. Mereka yang berminat akan menguruskan sendiri dan KEMENTAH hanya memberikan surat sokongan sahaja. Ini adalah fakta dan realiti sikap Kementerian yang bertanggung jawab terhadap kebajikan Tentera. Hakikat ini sangat menyedihkan.
Kenyataannya 95% tentera dan veteran langsung tidak tahu akan kewujudan akta ini. Kehendak didalam perintah ini telah tidak diurustadbir malah diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Sehingga kini tiada jabatan khusus yang diwujudkan di KEMENTAH untuk menangani kes ini. Akibatnya, 150,000 orang tentera telah menamatkan tamat perkhidmatan sejak tahun 1973, tidak mendapatkan peluang memiliki tanah perumahan dan pertanian mereka yang telah termaktub dalam akta yang telah sekian lama di luluskan oleh kabinet. Natijahnya sangat besar apabila sebilangan besar anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan melalui kemelut hidup yang sangat sukar untuk menanggung keluarga sendiri dan ramai menumpang teduh di rumah pusaka di kampong halaman atau tinggal menumpang kepada saudara mara terdekat.
Di bawah pimpinan Abdullah CD, Chin Peng dan Rashid Mydin, dari Parti Komunis Malaya serta suku sakat mereka berjumlah ribuan orang tinggal dengan selesa di empat buah perkampungan baru secara kelompok di Chulaborn, Sukhirin , Daerah Weng, Selatan Thailand yang hanya bersebelahan tenggara Grik Perak. Pada tahun 1989, semasa perjanjian perletakan senjata, perjuangan mereka telah mendapat penghargaan oleh Kerajaan Thailand dengan memberikan kerakyatan Thai melalui perjanjian Damai Hatyai dan dianugerahkan pemilikan tanah secara kelompok. Bekas Komunis ini ditatang bagai minyak yang penuh dan menjalani kehidupan yang jauh lebih baik dari ribuan bekas tentera yang memerangi mereka dahulu.
‘’Kera di hutan di susukan; Anak di rumah mati kelaparan’’, yang membawa maksud yang sama apabila Komunis mendapat pembelaan; tentera kita merempat dibiarkan bergelandangan? Dimana letaknya harga diri pejuang Negara disisi kerajaan dan rakyat negara ini? Mengapakah pejuang agama, bangsa dan tanah air di pinggirkan dan dibiar merana di negara sendiri?
KANANG ANAK LANGKAU
Tentera dan Veteran pasti akan remuk redam dan kecewa dengan insentif berterusan yang diberikan kepada bekas Komunis, sedangkan mereka pula hidup susah dan dipinggirkan. Sebagai contoh, keberanian Pegawai waren Kanang Anak Langkau, sebagai penerima Pingat Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa yang meratapi dan melihat sendiri rakan seperjuangan mati berlumuran darah dengan dada terburai ditembusi peluru penganas. Beliau juga turut cedera parah namun terus berjuang habis-habisan. Namun ketika melalui zaman pesaraan, beliau hanya mampu mengusahakan tanah sekitar rumah panjang peninggalan pusaka ibu mertua. Walaupun Kerajaan Sarawak dan Rakyat Malaysia cukup meyanjungi kepahlawanan Kanang, namun kebajikan beliau sekeluarga tidak pernah menjadi keutamaan kerajaan khususnya KEMENTAH.
Jika tokoh sehebat beliau yang di nobatkan dalam Kalam buku rujukan sekolah seluruh Malaysia di layan sedemikian rupa, bagaimana pula nasib bekas tentera lain yang tidak ternama dan berjuang ikhlas semata demi kedaulatan nusa dan bangsa? Terdapat di kalangan veteran merasakan pengorbanan dan ketaatsetian mereka kepada Yang Dipertuan Agong dan Raja-raja Melayu dalam memperjuangkan keselamatan dan kedaulatan negara ini tidak dihargai oleh Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri. Keutamaan pemilikan tanah perumahan dan pertanian secara percuma berdasarkan kepada PMAT 1973 langsung dinafikan malah tidak mendapat perhatian sewajarnya di KEMENTAH.
LTAT DAN SPAT
Walaupun dengan wujudnya Lembaga tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menyimpan wang simpanan pencarum kesemua 110,000 anggota tentera mencecah RM500 juta setahun sejak 38 tahun lamanya(Ibarat KWSP), dengan pembentukan Syarikat Perumahan ATM malangnya tabungan ini tidak langsung di gembelingkan untuk melaksanakan projek-projek perumahan percuma untuk kebajikan kepada tentera dan Veteran. Derma Rayuan Hari Pahlawan yang hanya merupakan tindakan dangkal kerajaan Barisan National untuk mengaburkan mata rakyat.
Kerajaan seolah-olah menganggap Veteran ini sama seperti peminta sedekah. Sikap pimpinan KEMENTAH yang diterajui oleh pimpinan BN adalah terlalu pasif dalam membantu kebajikan tentera dan veteran. Gelagat ini dilihat sebagai satu kelemahan orgaisasi yang wajar di siasat siapakah dalangnya kerana ketidakcekapan mereka telah mengakibat hampir 290,000 bekas tentera terlepas menikmati keistemewaan ini sejak negara merdeka.
JHEV DAN PERSATUAN BEKAS TENTERA
Jabatan Hal Ehwal Veteren (JHEV) yang bertanggungjawab menguruskan bayaran pencen pesara tentera turut mendapat dana peruntukan kerajaan RM20 juta setiap tahun yang disalurkan kepada Persatuan bekas Hal ehwal perajurit (PERHEBAT). Aktiviti yang dianjurkan banyak memfokuskan kepentingan tuntutan politik Pimpinan BN. Pengiktirafan bekas tentera hanya di anugerahkan dengan Pingat Jasa Malaysia dalam usaha kerajaan mengaburi mereka yang gagal melunaskan kepincangan kebajikan mereka secara berterusan. Bantuan peralatan dan kewangan ada di salurkan kepada bekas tentera melalui persatuan bekas tentera sering di eksploitasikan oleh kerajaan untuk gimik politik BN untuk meraih simpati rakyat dan hanya sekadar melepas batuk di tangga. Keluhan tentera yang benar-benar tersepit tidak mendapat pembelaan sewajarnya dari KEMENTAH.
JHEV adalah agensi Kementerian yang hanya dilihat bertindak sebagai penyalur bantuan kecil-kecilan kepada 282 persatuan bekas tentera pelbagai kor. Sikap sambil lewa ini meletakan JHEV dan Persatuan ini sebagai kuda tunggangan pimpinan BN (BN) yang langsung tidak peka terhadap matlamat setiap anggota tentera dan keluarga untuk menghabiskan sisa hidup selesa selepas bersara melalui bantuan berterusan dan bermenafaat sepanjang hayat.
PEMBELAAN BERTERUSAN
Melihat kepada kemelut hidup yang membebankan veteran dan anggota ATM, maka pada hari ini Seketariat KEBAJIKAN VETERAN DAN ANGKATAN TENTERA (KERABAT) akan digerakan seluruh Malaysia wajib menjejaki dan memberikan khidmat membalas jasa kepada mereka sekeluarga. Pakatan Rakyat khususnya PAS hendaklah membantu kebajikan dan taraf hidup tentera dan Veteran secara sempurna dan berterusan bukannya ‘Touch and Go’ dan bermusim seperti oleh telatah pimpinan BN.
KEBAJIKAN VETERAN DI BANGLADESH
Kita lihat negara Bangladesh sebagi contoh, walaupun negara miskin, Perancangan di buat awal dan sebelum bersara mereka akan di anugerahkan tanah di pinggir bandar pada kadar 0.5 ekar seorang. Melalui Syarikat perumahan milik tentera diguna dengan bijak untuk memperkasakan ekonomi khususnya dalam pembangunan rumah dan tanah milik pegawai dan anggota tentera mereka secara kelompok. Apabila bersara ada diantara mereka memperolihi beberapa unit kondominum atau pangsapuri setiap seorang. Sedangkan veteran kita ramai yang kudung dan kurang upaya akibat jerangkap samar dibantu mendapat kaki atau tangan dan tercedera hanya medapat kerusi roda dan sedikit pencen terbitan yg nilainya sangat relatif.
KERABAT memohon kepada Pimpinan kerajaan dan kerajaan negeri agar dapat menganugerahkan tanah secara kelompok, untuk pembinaan pangsapuri atau kondominium untuk usaha sama projek kerajaan Negeri. Kediaman akan diagih-agihkan kepada tentera dan veteran dikalangan anak watan negeri. Namun bagi negeri yang memiliki tanah yang luas lot tanah pertanian seluas 05 sehingga 10 ekar akan di majukan sebagai perkampongan Veteran moden. Perkampongan Veteran ini adalah sebagai zon Penampan pertahanan dan Pusat Latihan model insan melatih sukarelawan dan penuntut khidmat Negara disamping mengantikan KemTentera yg dijual oleh BN.
Kepincangan BN yang menerajui KEMENTAH sehingga mengakibatkan hampir 400,000 orang veteran dan anggota tentera terinaya mestilah ditangani. Tentera dan Veteran memilik keluarga yang besar melalui rangkaian ibubapa dan sanak saudara yang bertaburan di seluruh pelusuk negara. Jumlah ini akan mencecah 2 juta orang jika meliputi isteri, anak-anak, sanak sudara dan kaum kerabat seluruh negara. Tiada simpati daripada Kerajaan pemerintah untuk menangani kebajikan mereka secara berterusan adalah satu penafian hak tentera dan veteran sebagai warga sejati negara ini oleh kerajaan BN.
CADANGAN
Tentera dan Veteran Malaysia mesti dihargai pengorbanan mereka secara berterusan. Sekretariat KERABAT mencadangkan:
1. Kerajaan pemerintah memberi pengecualian kepada setiap anggota tentera dan veteran berpencen dikecualikan dari Cukai Pendapatan dan diberi rebet potongan istimewa untuk bayaran api dan air bagi setiap premis kediaman.
2. Kerajaan pemerintah disyorkan menubuhkan seberapa banyak perkampungan Veteran di setiap Negeri dan membina prasarana yang membantu mengekalkan keterampilan kepakaran serta boleh digunapakai sebagai Pusat Latihan seperti PLKN, BKN dan seumpamanya.
3. KERABAT bertindak menyelaraskan urustadbir Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT), Syarikat Perumahan Angkatan Tentera (SPAT) dan anak syarikat milik bersama untuk diperkasakan kearah kebajikan Tentera dan Veteran Angkatan Tentera Malaysia khususnya dalam pembangunan perumahan dan peladangan.
4. KERABAT bertanggungjawab membentuk keluarga besar Veteran dan anggota ATM sebagai pendokong dan pejuang Kerajaan berwadahkan Islam, Al Quran dan Sunah. Tentera dan bekas Tentera mesti di hargai pengorbanan mereka. Kebajikan yang menjadi hak milik mereka wajib dipertahankan dan diberikan keutamaan.
5. Semua pihak mengenalpasti dan mengumpulkan seberapa ramai tentera, veteran dan balu serta anak-anak mereka menyertai KERABAT. Pendaftaran akan dibuat di setiap negeri dan parlimen untuk membantu mereka. KERABAT di semua negeri akan dibentuk dan diselia tadbir oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri dalam mempastikan khidmat balas jasa dan kebajikan berterusan yang termaktub dalam PMAT 1973 di implimantasikan.