20100828

MAHKAMAH PUTUSKAN FELDA MENIPU!

Keputusan panel 3 Hakim Mahkamah Persekutuan semalam (26 Ogos 2010) yang diketuai Tan Sri Alaudin Mohd Sherif bersama Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Seri Md Raus Sharif mengekalkan keputusan yang memerintahkan Felda membayar gantirugi berjumlah RM11 juta kepada 354 orang peneroka Felda Kemahang 3, Tanah Merah Kelantan adalah suatu catatan penting negara.

Pada 22 September 2002, kumpulan peneroka tersebut telah memfailkan saman terhadap Felda(defendan pertama), Pengurus Felda Kemahang 3(defendan kedua) dan Felda Palm Industries Sdn Bhd(defendan ketiga). Dalam tuntutan itu, peneroka mendakwa berlaku penipuan dalam urusan jual beli hasil sawit yang dijual defendan kedua atau defendan ketiga kepada defendan ketiga bagi pihak plaintif.

Keadaan itu disedari apabila seorang daripada plaintif menemui salinan asal 'Akuan Penerimaan Buah Tandan Segar (BTS) dikeluarkan defendan ketiga mengandungi cop penjual mengakui hantaran mutu BTS di bawah KPG (Kadar Perahan Gred )sebanyak 18 peratus. Mengikut salinan asal surat akuan itu, 'penjualan BTS itu dibuat atas kehendak penjual dan penjual bersetuju dengan KPG yang dibayar'.

Plaintif dalam writ samannya menegaskan mereka tidak pernah bersetuju dan tiada pengetahuan langsung terhadap persetujuan penjualan di bawah KPG 18 peratus seperti didakwa. Mereka juga menegaskan mutu KPG di bawah 18 peratus adalah salah, tidak tepat dan bercanggah dengan mutu perahan sawit yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia(MPOB).

354 orang peneroka berkenaan di wakili peguam Wan Rohimi Wan Daud, Asmadi Abu Bakar, Yusfarizal Yusof dan Muhd Azmi Talib. Defendan pula diwakili Firma guaman Tetuan Wong Lu Peen dan Tunku Alina.

Kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak bahawa ia kesilapan teknikal kerana ketidakhadiran panel guaman Felda adalah suatu penghinaan kepada Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan yang telah membuat keputusan berasaskan penghujahan peguam plaintif yang turut mengemukakan para saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Mohd Azman Husin dalam penghakiman lisan bertarikh 13 Januari 2008 berkata; mahkamah mendapati wujud bukti konspirasi antara pengurus Felda dan kilang sawit berkenaan untuk menipu gred harga kelapa sawit. Mahkamah berpuashati bahawa kadar gred harga kelapa sawit yang diberikan pihak berkenaan kepada peneroka adalah tidak munasabah.

Adalah jelas apa yang diputuskan mahkamah selari dengan realiti yang sedang dihadapi oleh peneroka berpuluh tahun lamanya di semua 70 kilang kelapa sawit. Penipuan ini bukan dilakukan individu tetapi sengaja diprogramkan untuk mengaut keuntungan mudah berjuta ringgit setiap bulan. Peneroka telah membangkitkan isu ini termasuk isu 'minyak kotor' dan isirong tetapi respon Felda begitu dingin. Felda mendakwa peneroka telah bersetuju dengan KPG tersebut. Walhal peneroka tidak pernah pun diajak berbincang sebaliknya mengiyakan sahaja operasi di kilang kelapa sawit.

Lebih buruk lagi, Buah Tandan Segar yang digrading sebagai mengkal/mentah yang sepatutnya dikembalikan kepada peneroka seperti mana Manual Pengredan MPOB; Felda enggan berbuat demikian. Sebaliknya dipercayai secara senyap-senyap dimasuk ke dalam rem sebelum diproses semula menyebabkan kadar perahan menjadi rendah.

Najib dan pengurusan Felda tidak mahu menerima hakikat kerja kotor mereka selama ini telah terdedah di peringkat perundangan. Mereka cuba kambinghitamkan panel peguam yang mereka lantik sendiri untuk menutup penipuan mereka.

Kenapa Felda tidak mahu bermuhasabah dan membetulkan kepincangan mereka?
Kalau kadar perahan yang sepatutnya dinikmati peneroka antara 22-25 peratus, kenapa tidak diberikan?
Mengapa mereka menidakkan garis panduan sedia ada daripada MPOB, agensi yang berotoriti bahkan memperlekeh analisis makmal Sime Darby serta Felda sendiri yang mengatakan kadar perahan peneroka sekitar 24-25 peratus?

Apa pula nanti alasan Najib, Ahmad Maslan dan Yusof Nor kalau sekiranya keputusan perbicaraan kes yang sama bagi Gugusan Maokil dan Serting memihak kepada peneroka?

Untuk pengetahuan, ini baru penipuan KPG sawit. Kita belum membicarakan lagi penipuan atas Kandungan Getah Kering(KGK) atau lebih dikenali sebagai 'Chee'. Mereka hanya dibayar KGK sekitar 29-30 peratus sahaja sedangkan sepatutnya mereka wajar mendapat antara 33-34 peratus KPG. Peneroka mempersoalkan penggunaan oven pembakar, penipuan timbangan, susutan getah sekerap dan lain-lain.

Insyaallah selepas hariraya ini, tindakan saman berikutnya bukan lagi tertumpu atas kilang sawit Felda; tapi juga Pusat Mengumpul Getah Felda(PMG).

Kesimpulannya, sebahagian daripada perjuangan warga Felda mulai berhasil. Ini suatu permulaan yang sangat baik. Tuntutan lain seperti Wang Tanam Semula, pengurusan ladang yang lemah oleh Techno Plant Sdn Bhd, diskriminasi peneroka yang menguruskan kebun secara persendirian dan perumahan generasi kedua akan terus dikumandangkan.

Najib dan rakan-rakannya sedang panik dan ketakutan. Talian Hayat mereka di Felda boleh ranap dan dondang sayang mereka bahawa peneroka mesti bersyukur dan berterimakasih pada kerajaan BN semakin tidak laku.

Sama-sama kita saksikan TSUNAMI POLITIK pada PRU ke 13 atas kesedaran dan perubahan warga Felda, Insyaallah!

MAZLAN BIN ALIMAN
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda
Kebangsaan(ANAK)

No comments:

Post a Comment