20100814

FELDA Tidak Jadi Saman Suara Keadilan ???


Felda Dinasihat Fikir Masak-masak Sebelum Saman Suara Keadilan

Oleh Sidiqin Omar

PETALING JAYA 14 Ogos - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dinasihatkan mendapatkan penasihat undang-undang yang pintar sebelum meneruskan niatnya untuk menyaman lidah rasmi KEADILAN, Suara Keadilan berhubung artikel 'Felda Bankrap' yang menimbulkan persoalan sama ada agensi tersebut sudah lingkup setelah mengalami penurunan rizab tunai secara mendadak dalam tempoh lima tahun.

Ini berikutan Felda menghantar surat tuntutan ganti rugi RM200 juta 1 Julai lalu kerana mendakwa artikel tersebut telah menjejaskan imejnya.

"Persoalan yang ingin ditimbulkan disini, adakah secara moral, perundangan dan etika membolehkan Felda untuk membawa satu tindakan undang-undang ke atas rakyat dan orang awam yang mengeluarkan kritikan. Kita perlu ingat bahawa Felda adalah sebuah badan berkanun, yang ditubuhkan dengan menggunakan dana awam. Jadi tindakan mereka untuk menyaman pandangan orang ramai adalah tidak masuk akal," kata peguam yang mewakili Suara Keadilan, N Surendran pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana, hari ini.

Surendran berkata undang-undang jelas menunjukkan Felda ditubuhkan dengan dana awam dan tujuannya adalah untuk memberikan bantuan kepada rakyat melalui rancangan tanah dan program skim pertanian.

Kata beliau, usaha untuk menyaman penerbit akhbar tersebut bukan sahaja berkaitan prinsip perundangan semata-mata, tetapi lebih kepada persoalan moral dan etika.

"Undang-undang adalah jelas. Felda tidak boleh saman fitnah. Ugutan saman yang diambil oleh Felda tidak mempunyai asas dan prinsip undang-undang. Mana-mana badan berkanun yang menggunakan wang rakyat dan memberikan perkhidmatan untuk kepentingan rakyat, tidak boleh mengeluarkan saman fitnah setiap kali dikritik oleh rakyat.

"Ia sama seperti kerajaan persekutuan atau pun kerajaan negeri yang tidak boleh mengeluarkan saman fitnah kepada mana-mana individu, setiap kali dikritik. Jika itu dibenarkan, maka hak rakyat untuk mengeluarkan kritikan membina terhadap kerajaan, terhadap institusi kerajaan dan badan berkanun akan tergugat," jelas Surendran.

Turut sama dalam sidang media itu termasuk Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah, bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong dan Pengerusi Biro Felda dan Orang Asal KEADILAN, Suhaimi Said

No comments:

Post a Comment