20090811

Satu Salah Faham - Ronnie Liu

Ronnie Liu menafikan berulangkali tuduhan bahawa beliau campurtangan dalam keputusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk merampas minuman keras dalam satu serbuan yang dilakukan.

Liu berkata pembabitannya dalam kontroversi tersebut hanyalah terhad kepada 'menasihatkan' MBSA bahawa serbuan ke atas kedai 7-11 di Seksyen 8, Shah Alam adalah tidak sah dan tidak selari dengan dasar kerajaan negeri.


"Bila saya bertanya kepada pengarah pelesenan, dia berkata dia tahu yang dia tiada ada kuasa (untuk mengarahkan serbuan tersebut), dan dia mengaku telah melakukan satu kesilapan, tetapi berkata dia bertindak kerana tekanan dari beberapa ahli majlis yang dia tidak mahu menyebut nama mereka.

"Apa yang jelas ialah tidak ada arahan dari datuk bandar, atau setiausaha majlis. Dia buat keputusan sendiri. Rayuan dari ahli majlis tidak boleh dianggap sebagai arahan. Jadi terdapat kesilapan yang dilakukan oleh pengarah pelesenan," kata Liu.

Beliau percaya pegawai MBSA atau ahli majlis mungkin salahfaham dengan Akta Eksais 1976, yang menyebut bahawa lesen minuman keras tidak diperlukan bagi menjual minuman dengan kandungan alkohol kurang daripada 8.8 peratus.

"Dalam Bahasa Malaysia, tidak terdapat terjemahan yang tepat bagi minuman keras. (Istilah) bir hanyalah terjemahan terus. Orang Islam mungkin tidak faham istilah ini. Tetapi bukan Islam dapat membezakan bir daripada arak.


"(Dalam istilah perundangan) bir didefinasikan sebagai 'minuman keras'. Tidak ada deskripsi yang lebih tepat (daripada itu)," kata Liu, yang bidangkuasanya sebagai exco negeri termasuk memantau perjalanan majlis daerah.

Katanya, dalam perjumpaan tersebut, beliau menjelaskan kepada mereka dasar kerajaan negeri dan kesan serbuan tersebut, dan ianya adalah keputusan MBSA sendiri untuk memulangkan bir bernilai RM600 kepada kedai berkenaan.

Isu tersebut telah dianggap oleh sesetengah pihak sebagai satu penghinaan besar terhadap umat Islam, sehingga Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, mendesak supaya Liu digugurkan daripada menjadi exco kerajaan negeri atau ditukar portfolionya kerana didakwa mengganggu bidangkuasa MBSA.

"Saya mesti menyatakan bahawa hubungan saya dengan Datuk Hassan adalah amat baik. Insiden tersebut tidak menjejaskan hubungan kami. Beliau adalah kawan dan rakan (exco). Kami akan terus bekerjasama.

"Orang yang mahu mengambil kesempatan daripada situasi tersebut, seperti bekas menteri besar (Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo), harus berhenti daripada bermimpi kerana kami akan terus bekerjasama," tegas Liu.

Beliau juga berterima kasih kepasa Dewan Pemuda PAS Selangor yang mengambil inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengannya Selasa lalu untuk mendengar sendiri daripadanya mengenai kontroversi tersebut.

No comments:

Post a Comment