20110602

LANCAR OPS SCORPENE

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

1 Jun 2011

Sokong Penuh Kepada SUARAM Lancar Ops Scorpene

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyokong sepenuhnya usaha Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) melancarkan Ops Scorpene bagi mengumpul dana membiayai kos guaman perbicaraan kes rasuah pembelian dua kapal selam serta yang melibatkan kematian misteri Altantunya Sharibu yang akan bermula Julai di Mahkamah Perancis.

Mengikut Pengarah Suaram, Cynthia Gabriel, sebanyak RM100,000 disasarkan dalam Ops Scorpene. Sebenarnya badan-badan NGO telah mendesak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes perolehan senjata yang melibatkan komisen yang besar termasuk 114 juta Euro (RM 493.53 juta) yang dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd.

Namun demikian, SPRM tidak mengambil sebarang tindakan yang menyakinkan terhadap desakan badan NGO sampai hari. Tiada keazaman politik daripada SPRM dalam penyiasatan kes rasuah yang penting tersebut. Maka SUARAM telah membawa kes tersebut ke Mahkamah Perancis.

AMK bersetuju dengan tindakan SUARAM yang bijaksana serta berani atas prinsip kepentingan negara serta kebebasan maklumat. Selama ini segala perolehan senjata kerajaan selalu dilakukan dalam keadaan yang tidak telus. Dengan adanya Akta Rahsia Rasmi yang sering dijadikan alasan untuk tidak mendedah sebarang maklumat atau keputusan dalam perolehan senjata kepada orang awam termasuk Ahli Parlimen.

Oleh itu, tindakan SUARAM yang membawa kes rasuah ini ke Mahkamah Perancis seolah-olah membuka Pandora Box. Rakyat akan berpeluang untuk mengetahui kebenaran dalam kes rasuah yang selama ini ditutup dalam negara.

Sebenarnya terdapat banyak kes-kes perolehan senjata yang tidak telus termasuk yang dibongkarkan oleh YB Tony Pua (Ahli Parlimen PJU) dalam kes pembelian 6 buah Offshore Patrol Vessels yang bernilai RM 6 billion. Beliau telah membangkitkan beberapa masalah dalam perolehan senjata iaitu harga yang terlampau tinggi berbanding dengan negara lain, proses perolehan yang bermasalah dan tidak bertanggungjawab (accountablity).

AMK berpendapat proses perolehan senjata yang melibatkan peruntukan yang tinggi perlu dipantau oleh Parlimen untuk mengelakkan sebarang komisen yang terlampau tinggi serta gejala rasuah yang berleluasa.

Oleh itu, AMK mendesak agar kerajaan tidak lari daripada tanggungjawab malah mengutamakan kepentingan negara serta urus tadbir yang cekap. Kerajaan perlu menyumbang kepada Ops Scorpene yang dilancarkan oleh SUARAM untuk mencari kebenaran dalam kes rasuah.

Semua rakyat Malaysia diseru untuk memberi sokongan kepada SUARAM dalam Ops Scorpene untuk memastikan kerajaan kita sentiasa bertanggungjawab ke atas kepentingan rakyat, urustadbir yang cekap.


LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia