20110526

Kenyataan Media - PRU 13 Semangkin Hampir

Kenyataan Media
Angkatan Muda Keadilan Malaysia

26 Mei 2011

PRU13 Semakin Dekat Dengan Tiada Kenaikan RON95

Angkatan Muda KEADILAN Malaysia (AMK) memandang keputusan kerajaan tidak menaikkan harga RON95, diesel dan LPG merupakan satu taktik menunda di mana Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU13) akan diadakan pada masa yang terdekat.

Keputusan kabinet kelmarin jelas menunjukkan bahawa UMNO/BN sanggup berbuat apa jua untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya dan sekaligus mengelak daripada ditolak oleh rakyat pada PRU13 yang akan datang.

Walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menafikan bahawa tindakan kabinet tersebut tiada kaitan dengan pilihanraya umum, tetapi sebenarnya kerajaan telah beberapa kali menaikkan harga barang kawalan harga seperti RON97, tepung, gula dan sebagainya.

Tindakan kerajaan yang mengabaikan kepentingan rakyat telah menyebabkan beban kehidupan harian rakyat yang semakin berat. Rungutan dan kemarahan rakyat juga kian hari kian bertambah.

AMK kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri Najib Razak yang menggambarkan subsidi bahan api ibarat ‘candu’ kepada rakyat. Kerajaan telah memotong subsidi yang penting untuk rakyat tetapi langsung tidak menyentuh subsidi berbilion-bilion yang diberi kepada syarikat swasta Independent Power Producer (IPP). Polisi kerajaan adalah bercanggah dengan konsep rakyat didahulukan seperti yang selalu diwar-warkan oleh kerajaan Satu Malaysia.

Sebenarnya kerajaan sedar bahawa sekiranya menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG akan menyebabkan rakyat tolak UMNO/BN dan sekaligus kehilangan kuasa pemerintahan di Malaysia. Dengan kata lain, jika UMNO/BN terus diberi kuasa atau merampas balik 2/3 majoriti kerusi di Parlimen, maka kecenderungan harga barang naik selepas PRU13 akan bertambah serius.

Lebih membimbangkan adalah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah ditolak oleh rakyat jelata selama ini akan dilaksanakan semula oleh UMNO/BN sekiranya mereka menang besar dalam PRU13.

Oleh itu, AMK berpendapat bahawa kenaikan harga barang yang tidak terkawal menunjukkan kerajaan UMNO/BN gagal dalam mengendalikan ekonomi negara dengan cekap. Rakyat jangan terpedaya dengan taktik menunda dimana akhirnya akan seperti katak yang dimasak dengan air hangat.

AMK percaya PRU13 akan diadakan pada masa terdekat, rakyat perlu bersatu-padu untuk berjuang menentang masalah inflasi yang tidak terkawal. Dengan wujudnya sistem dua parti yang sihat, kerajaan akan selalu dipantau oleh pembangkang agar tiada penyelewengan berlaku. Maka rakyat yang akan menjadi tuan yang sebenar di dalam Malaysia.


LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia